Rempuhan Trak Sweden: Pangsapuri Suspek Diserbu

Diterbitkan: Ahad, 9 April 2017 11:28 AM

Pangsapuri di Varberg yang diserbu susulan maklumat berkaitan rempuhan trak di tengah bandar Stockholm.

(Ubah saiz teks)

STOCKHOLM: Serbuan di sebuah pangsapuri dipercayai membawa kepada penahanan enam lagi suspek berhubung kejadian melibatkan rempuhan kenderaan di bandar ini yang mengakibatkan empat kematian.

Pasukan polis yang lengkap dengan senjata api telah mengepung kawasan penempatan di Varberg sebelum menahan semua suspek terlibat.

Sebelum ini, polis di sini telah memecahkan tingkap di bahagian pemandu sebuah kereta sebelum menahan tiga suspek pada pukul 5 petang.

Bagaimanapun, setakat ini polis belum membuat pengesahan berhubung penahanan terbaharu itu.

Anggota polis membawa bahan bukti yang dikumpul dalam serbuan di sebuah pangsapuri susulan kejadian rempuhan trak.

Pada Jumaat, warga Uzbekisthan berusia 39 tahun telah ditahan kerana disyaki merancang serangan dan siasatan mendapati adanya propaganda ISIS dalam komputer riba miliknya.

Pemeriksaan polis juga menemui bom buatan sendiri dalam trak  dan lelaki yang ditahan itu besar kemungkinan adalah pemandu kenderaan itu.

Saksi kejadian memberitahu, penyerang telah menyalakan api pada tubuhnya, bagaimanapun gagal meletupkan bom yang diletakkan dalam bagasi sebelum melarikan diri.

Bapa kepada empat anak itu berpengalaman mengendalikan bahan letupan dan sememangnya dalam senarai pemantauan pihak berkuasa keselamatan Sweden.

Ketua Perkhidmatan Keselamatan Sweden, Anders Thornberg mengesahkan suspek sememangnya ada dalam senarai individu disyaki.

Dalam kejadian itu, sebuah trak yang dicuri digunakan untuk merempuh orang awam yang sibuk membeli-belah di sebuah kedai di tengah ibu bandar raya itu.

Pihak polis mengesahkan empat mangsa terbunuh termasuk kanak-kanak dan 15 orang lagi cedera dalam tragedi itu.

Insiden berkenaan berlaku kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan di kedai Ahlens, kawasan paling sibuk untuk pejalan kaki kerana menghubungkan pusat komersial dan stesen kereta api bawah tanah.

Bulan lalu, empat terbunuh apabila seorang lelaki merempuh pejalan kaki di Jambatan Westminster di London sebelum menikam mati seorang anggota polis di luar bangunan Parlimen Britain.

Pada Julai tahun lalu, seramai 68 orang terbunuh akibat dirempuh sebuah trak di Nice, Perancis ketika orang ramai berkumpul sempena sambutan Hari Bastille.

Di Berlin, seramai 12 orang maut apabila sebuah trak merempuh sebuah pasar Krismas pada Disember lalu.

Tags / Kata Kunci: Sweden , ISIS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan