Serangan Bom Di Rusia, Dua Suspek Diburu

Diterbitkan: Selasa, 4 April 2017 11:39 AM

SERANGAN di stesen kereta api Saint Petersburg di Rusia pada 3 April 2017 mengorbankan 11 nyawa dan mencederakan 45 mangsa yang lain. - AP

(Ubah saiz teks)

MOSCOW: Pihak polis Rusia memburu dua suspek yang dipercayai mendalangi insiden serangan bom di stesen rangkaian kereta api Saint Petersburg yang mengorbankan 11 nyawa dan mencederakan 45 mangsa lain.

Menurut media Rusia, serangan bom itu dipercayai dilakukan oleh pengebom berani mati yang dipercayai berusia 23 tahun dan berasal dari Asia Tengah.

Perkara itu bagaimanapun belum boleh disahkan selagi ujian DNA selesai dijalankan tetapi beberapa laporan mendakwa penyerang membawa bom menggunakan beg galas.

Identiti dua suspek yang menjadi buruan pihak berkuasa Rusia juga tidak didedahkan tetapi waran tangkap untuk menahan mereka sudah dikeluarkan.

Pihak keselamatan Rusia turut menemukan sebuah lagi bom di stesen Ploschad Vosstaniya yang kemudiannya dimatikan serta-merta.

Namun pihak berkuasa Rusia masih buntu mencari petunjuk untuk mengaitkan serangan pengganas dalam kejadian itu selain memburu kumpulan yang menjadi dalang tragedi tersebut.

Antara kumpulan yang dikaitkan setakat ini termasuk kumpulan pejuang Chechnya yang sudah berpuluh-puluh tahun memerangi kerajaan Rusia untuk mendapatkan kemerdekaan untuk wilayah Chechnya.

Selain itu, pihak keselamatan Rusia tidak menolak kemungkinan serangan terbabit didalangi militan Daesh yang menjadikan bandar-bandar utama Eropah sebagai sasaran sejak beberapa tahun lalu.

Terdahulu, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan siasatan masih lagi dilaksanakan.

"Pihak kami tidak menolak sebarang kemungkinan sama ada ia merupakan perbuatan jenayah atau keganasan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Rusia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan