Budak Perempuan Dilarang Pakai 'Legging' Dalam Pesawat

Diterbitkan: Isnin, 27 Mac 2017 8:09 AM

Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Sekurang-kurangnya dua penumpang perempuan yang memakai 'legging' tidak dibenarkan menaiki penerbangan United Airlines pada Ahad kerana tidak mematuhi kod pakaian penumpang, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan di Twitter.

Menurut satu siri kenyataan penumpang lain di Twitter, yang memperkenalkan dirinya sebagai pengasas kumpulan penyokong kawalan ke atas senjata api, dua penumpang itu diminta untuk menukarkan pakaian atau menutupi 'legging' mereka dengan pakaian lain sebelum dibenarkan menaiki penerbangan dari Denver ke Minneapolis.

"Penumpang-penumpang pada pagi ini merupakan pemegang 'pas perjalanan' United yang tidak mematuhi polisi kod pakaian kami untuk perjalanan," kata syarikat penerbangan itu di Twitter berikutan insiden tersebut tular di media sosial.

Dalam tweet lain sebagai tindak balas kepada soalan daripada pengguna media sosial, syarikat penerbangan itu berkata: "Pakaian kasual untuk penumpang bertiket dibenarkan. Penumpang pada hari ini merupakan pemegang 'pas perjalanan' United dan mengikut garis panduan berbeza."

Pemegang 'pas perjalanan' United merupakan kakitangan syarikat penerbangan itu atau ahli keluarga mereka.

Seorang penumpang, Shannon Watts menyuarakan pandangannya di Twitter apabila memaklumkan mengenai larangan terhadap salah seorang penumpang yang merupakan budak perempuan berumur 10 tahun kerana memakai 'legging'.

Watts berkata, budak perempuan itu dibenarkan menaiki penerbangan mereka selepas menukarkan pakaian atau memakai pakaian lain bagi menutupi 'legging' mereka.

"Tindakan ini adalah seksis dan bersifat seksual terhadap budak perempuan," kata Watts di Twitter. - Reuters


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan