Penyerang Parlimen London Dikenalpasti, Tujuh Tangkapan Dibuat

Diterbitkan: Khamis, 23 Mac 2017 4:18 PM

ANGGOTA polis lengkap bersenjata berkawal di luar New Scotland Yard susulan insiden serangan pengganas di luar bangunan Parlimen di London pada 23 Mac 2017. - REUTERS

(Ubah saiz teks)

LONDON: Tujuh individu ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar ibu negara England, Birmingham dan beberapa lokasi lain susulan insiden serangan berdarah di luar Bangunan Parlimen Britain pada Rabu.

Tangkapan itu dibuat ketika pihak berkuasa mencari lebih banyak maklumat tentang motif serangan tersebut yang setakat ini dikaitkan dengan aktiviti keganasan antarabangsa.

Pesuruhjaya Polis London, Mark Rowley berkata, siasatan awal mendapati penyerang tersebut mendapat inspirasi daripada pengganas antarabangsa.

"Kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan Islam dipercayai sebagai motif berdasarkan siasatan setakat ini," katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya juga mengetahui identiti penyerang tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Jelasnya, keganasan itu bermula apabila sebuah kereta yang dipandu pengganas di Jambatan Westminster merempuh dan menyebabkan kecederaan sejumlah orang awam dan tiga anggota polis.

Tambahnya, kenderaan itu merempuh penghadang jalan di luar bangunan Parlimen sebelum penyerang yang bersenjatakan pisau terus melakukan serangan dan cuba memasuki kompleks tersebut.

Penyerang terbabit ditembak mati selepas dia menikam mati seorang anggota polis.

Tiga lagi mangsa yang terbunuh disebabkan dirempuh kereta yang dipandu penyerang berkenaan.

Kira-kira 40 mangsa lagi disahkan cedera dalam kejadian tersebut.

Tags / Kata Kunci: Parlimen London , Serangan Pengganas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan