Presiden Filipina Dikritik Timbalan Sendiri - Berita Dunia | mStar

Presiden Filipina Dikritik Timbalan Sendiri

Diterbitkan: Khamis, 16 Mac 2017 1:20 PM

(Ubah saiz teks)

MANILA: Usaha Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memerangi jenayah dadah terus dikecam dan kali ini kritikan dilemparkan oleh orang kanannya sendiri, Leni Robredo yang merupakan Timbalan Presiden negara itu.

Robrebo menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah kematian ekoran kempen memerangi dadah yang diusahakan  Duterte selain menyatakan usaha tersebut tidak boleh diselesaikan menggunakan 'peluru sahaja'.

Dalam ucapan beliau ketika menyertai forum berhubung pembunuhan tanpa melibatkan perbicaraan, Robredo turut menyatakan kebimbangan tentang ketelusan dan tanggungjawab dalam kempen tersebut yang meragut ramai nyawa.

"Kita kini melihat statistik (kematian) yang menakutkan," katanya.

Sejak Julai tahun lalu, lebih 7,000 orang dibunuh selepas Duterte mengetuai kempen memerangi dadah di seluruh negara itu.

Robredo berkata, beliau turut menerima aduan daripada penduduk yang ditahan polis yang melakukan penggeledahan tanpa waran.

Malah beliau berkata, beratus-ratus aduan daripada penduduk yang merasakan diri mereka ditindas, dikemukakan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap ketua polis negara, Supritenden Dionardo Carlos berkata, jika dakwaan tersebut benar, ia melanggar dasar polis dan perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dilaksanakan.

Pada bulan lalu, kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menuduh polis bersikap seperti penjenayah kerana menindas, melakukan pembunuhan secara sistematik terhadap golongan miskin dan lemah, mengupah pembunuh, mencuri daripada mangsa yang dibunuh dan mengabaikan laporan penduduk.

Tags / Kata Kunci: Rodrigo Duterte , Leni Robredo
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan