Selepas Enam Tahun, Hosni Mubarak Kini Bebas - Berita Dunia | mStar

Selepas Enam Tahun, Hosni Mubarak Kini Bebas

Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 12:55 PM

(Ubah saiz teks)

KAHERAH: Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang menjalani  tahanan di hospital tentera sejak 2011 telah dibebaskan selepas Mahkamah Rayuan menggugurkan tuduhan berhubung penglibatannya dalam pembunuhan lebih 800 penunjuk perasaan.

Pembebasan pemimpin berusia 88 tahun itu mendapat persetujuan pendakwa raya pada Isnin.

"Beliau kini boleh pulang ke rumah, namun dilarang meninggalkan Kaherah kerana siasatan kes rasuah yang melibatkannya masih berlangsung," kata peguamnya, Farid al-Deeb.

Mubarak telah meninggalkan Hospital Tentera Maadi dan kembali ke kediamannya di Heliopolis yang akan disediakan kawalan keselamatan dalam tempoh beberapa hari.

Mubarak dituduh menghasut hingga membawa kepada kematian penunjuk perasaan ketika kebangkitan revolusi rakyat hingga berlakunya pertempuran dengan pihak berkuasa pada 2011.

Pada 2012, pemimpin terbabit dihukum penjara seumur hidup, namun Mahkamah Rayuan mengarahkan perbicaraan semula dan tuduhan tersebut digugurkan dua tahun kemudian.

Pada Januari 2016, mahkamah mengekalkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Mubarak dan dua anak lelakinya atas tuduhan rasuah.

Sejak insiden penggulingan beliau, kebanyakan tuduhan ke atas anggota rejim Mubarak digugurkan walaupun negara itu masih dalam proses pemulihan selepas Arab Spring.

Penggulingan bekas ketua tentera udara itu turut membawa kepada pemilihan bebas yang menyaksikan pelantikan Mohammed Mursi sebagai penggantinya yang dipilih secara demokrasi. 


Tags / Kata Kunci: Hosni Mubarak , Kaherah , Arab Spring
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan