Penumpang British Airways Mengadu Makanan Tak Cukup

Diterbitkan: Selasa, 14 Mac 2017 8:13 AM

(Ubah saiz teks)

SYARIKAT penerbangan British Airways menerima aduan para penumpang kerana tidak menyediakan makanan yang mencukupi di dalam penerbangan.

Portal Mail Online melaporkan syarikat itu turut mendapat aduan mengenai kegagalan untuk membekalkan tisu tandas yang cukup.

Gelombang aduan daripada pelanggan susulan kebanyakan mereka masih tidak berpuas hati dengan keputusan British Airways baru-baru ini yang mahu menghentikan pemberian makanan percuma bagi penerbangan jarak dekat.

Seorang penumpang yang menaiki penerbangan itu ke Fuerteventura, di Kepulauan Canary dari Lapangan Terbang Gatwick, London pada minggu lalu memberitahu bahawa kru kabin kehabisan makanan semasa mereka mengusung troli ke sebahagian tempat duduk dalam pesawat.

Tessa Evans Hurrell berkata, dia sekeluarga bukan sahaja terpaksa berdepan dengan penerbangan tertangguh selama dua jam, malah mereka hanya ditawarkan minuman dalam penerbangan empat jam itu.

Seorang lagi pengguna Twitter, Rebecca Clifford turut melalui pengalaman yang serupa dalam penerbangan lain dengan menulis: "Wahai kakitangan di Geneva, makanan tak cukup dalam penerbangan malam."

Dilaporkan, dalam penerbangan dari Innsbruck, Austria ke London pada minggu lalu, hanya terdapat baki tiga sandwich yang ditinggalkan untuk 110 penumpang.

Keputusan syarikat penerbangan itu untuk menghentikan pemberian makanan percuma bagi penerbangan kurang lima jam sejak Januari lalu dilihat kurang disenangi para penumpang.

Ia kini menawarkan makanan M&S yang agak mahal, termasuk tawaran sandwich berharga £7.55 (RM41).

Para penumpang membuat aduan bahawa tambang British Airways tidak menurun selari dengan keputusan menghentikan makanan percuma dalam pesawat. - Mail Online

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan