Nepal Siasat Laporan Wanita Jual Kulit Untuk Proses Besarkan Zakar

Diterbitkan: Sabtu, 11 Mac 2017 9:20 PM

Gambar fail beberapa wanita di Nepal makan malam di daerah Surkhet, 520km dari barat Kathmandu. -fotoAFP

(Ubah saiz teks)

KATHMANDU: Nepal akan menyiasat laporan yang mendakwa wanita-wanita miskin telah dijadikan mangsa dalam kegiatan penjualan kulit bagi tujuan pembesaran zakar dan payudara dalam pasaran pembedahan kosmetik global.

Siasatan oleh laman web berita India Youth Ki Awaaz (Suara Belia) berkata wanita Nepal telah menjual 20 inci persegi (130 cm persegi) tisu kulit punggung mereka pada harga $150 yang akan digunakan dalam pembedahan plastik.

Menteri Wanita, Kanak-Kanak dan Kebajikan Masyarakat Kumar Khadka memberitahu Yayasan Thomson Reuters bahawa kerajaan terkejut selepas membaca laporan itu yang disiarkan pada 6 Mac.

"Kami terkejut dengan laporan itu," kata Khadka lewat Khamis.

"Kami akan menyiasat dan jika ia betul, kerajaan akan melakukan segala usaha untuk menghentikan jenayah keji ini dan menghukum mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Pemerdagangan rakyat Nepal dari negara miskin Himalaya ke negara jiran India untuk bekerja sebagai buruh, eksploitasi seks, dan untuk pemindahan buah pinggang dilaporkan secara meluas, tetapi bagi kes pemerdagangan tisu kulit manusia, ia baharu dilaporkan.

Laporan oleh wartawan India Soma Basu, berkata wanita Nepal didagangkan ke rumah pelacuran di bandar-bandar di India seperti Mumbai dan kemudian ditipu sebelum kulit mereka diambil.

Beberapa mangsa berkata, mereka diberi dadah dan kulit mereka 'dicuri'.

Tisu kulit itu, menurut laporan, dijual ke makmal patologi di India di mana ia diproses dan dieksport kepada syarikat-syarikat di Amerika Syarikat yang mengeluarkan kulit dan produk-produk tisu bukan asli untuk pasaran pembedahan plastik global.

Aktivis hak asasi wanita menggesa kerajaan segera menyiasat laporan itu dan melancarkan kempen awam di kawasan berisiko tinggi, daerah miskin di negara ini yang terdedah kepada pemerdagangan.

"Kerajaan perlu serius mengenai dalam isu ini dan melindungi kaum wanita di sini," kata Sunita Danuwar dari Shakti Samuha, sebuah badan amal yang membantu memulihkan mangsa pemerdagangan. - Thomson Reuters Foundation
Tags / Kata Kunci: kosmetik , wanita Nepal , besar zakar , jual kulit

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan