Krisis Kebuluran Somalia Meruncing, Bantuan Antarabangsa Ditagih

Diterbitkan: Rabu, 8 Mac 2017 2:09 PM

SEORANG wanita kelihatan lemah tidak bermaya akibat kebuluran ditempatkan di sebuah kem perlindungan di Baidoa, Somalia pada 7 Mac 2017. - AP

(Ubah saiz teks)

MOGADISHU: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa masyarakat antarabangsa untuk menangani krisis kebuluran yang semakin meruncing di Somalia.

Menurut beliau, krisis yang melanda negara itu memerlukan bantuan berskala besar ketika enam juta penduduk, hampir separuh daripada populasi Somalia semakin terdesak untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Setiap penduduk Somalia yang ditemukan mempunyai kisah penderitaan tersendiri.

"Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan penderitaan mereka," katanya selepas mengadakan lawatan tergempar ke negara tersebut.

Krisis kebuluran di Somalia berpunca akibat musim kemarau yang berpanjangan, sekali gus menyebabkan bekalan air bersih sangat terhad.

"Penduduk di negara ini berdepan kematian. Seluruh dunia perlu bertindak bagi menghentikan krisis ini.

"Kita perlu membantu sebaik mungkin. Konflik, kemarau, perubahan cuaca, penyakit. Semua ini adalah mimpi ngeri," ujar Guterres menerusi satu kenyataan dalam laman Twitter.

Dalam lawatan itu, Guterres turut mengunjungi beberapa kem perlindungan yang dihuni beratus-ratus keluarga ekoran bencana kemarau dan peperangan antara tentera kerajaan dan militan al-Shabab.

Berdasarkan usaha PBB, Somalia merupakan antara empat negara yang tersenarai dalam kempen mengumpul dana sebanyak AS$4 bilion (RM16 bilion) bagi menangani krisis kebuluran dan konflik.

Tiga lagi negara merupakan Nigeria, Yemen dan Sudan Selatan yang dihimpit masalah sama.

Minggu lalu, kerajaan Somalia mengumumkan kematian 110 penduduk akibat kebuluran dalam tempoh 48 jam di satu wilayah sahaja.

Presiden Somalia, Mohamed Abdullahi Mohamed ketika bertemu Guterres berkata, beliau meletakkan keutamaan untuk menangani krisis kemarau selain memohon bantuan antarabangsa.

Tags / Kata Kunci: Antonio Guterres , PBB , Somalia , Kebuluran

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan