Ahli Politik Rusia Mahu Halalkan Hooliganism

Diterbitkan: Isnin, 6 Mac 2017 12:33 PM

(Ubah saiz teks)

MOSCOW: Seorang anggota Parlimen Rusia mencadangkan penyelesaian luar biasa untuk mengatasi masalah samseng bola sepak atau hooliganism menjelang Piala Dunia 2018 yang diadakan di negara ini.

Ahli politik tersebut, Igor Lebedev, mengemukakan usul untuk menghalalkan aktiviti hooliganism dan selain menjadikannya sebagai sukan buat penyokong.

Cadangan itu dikemukakan susulan kes pergaduhan antara kumpulan penyokong Rusia dan England di Marseille pada Kejohanan Euro di Perancis tahun lalu.

Menurut Lebedev, usul berkenaan melibatkan peraturan pergaduhan atau 'draka' dalam bahasa Rusia, antara 20 penyokong bagi setiap pihak tanpa menggunakan senjata dan bertempur dalam gelanggang.

Menerusi kenyataan yang disiarkan laman web Parti LDPR, beliau berkata, pergaduhan yang diatur akan menukarkan keganasan penyokong ke arah yang lebih aman.

Beliau juga berkata, langkah tersebut akan menjadi contoh buat penyokong England yang tidak berdisiplin dan tidak hebat berlawan.

"Rusia akan menjadi pengasas sukan baharu ini.

"Sebagai contoh, apabila penyokong England tiba dan mahu berlawan, mereka akan menerima jawapan dan cabaran diterima.

"Satu pertemuan akan diadakan di stadium dan masa ditetapkan untuk pergaduhan antara kedua-dua kumpulan penyokong," katanya seperti dilaporkan portal The Independent.

Ini bukan kali pertama Lebedev tampil dengan idea kontroversi berkaitan keganasan bola sepak.

Tahun lalu, beliau memuji penyokong Rusia yang bergaduh dengan penyokong England ketika kedua-dua pasukan bertembung di Marseille.

Selain itu, Lebedev juga merupakan ahli lembaga Kesatuan Bola Sepak Rusia.

Di sebalik minat yang mendalam terhadap dunia bola sepak, Lebedev memberi jaminan bahawa penyokong negara luar tidak terancam pada kejohanan Piala Dunia tahun depan.

"Kami akan mengambil langkah keselamatan yang ketat dan pelancong tidak perlu bimbang untuk datang ke Rusia tahun depan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Igor Lebedev , Rusia , Piala Dunia , Hooligan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan