Pemohon Visa AS Mungkin Diminta Kata Laluan Akaun Media Sosial

Diterbitkan: Jumaat, 10 Februari 2017 3:47 PM

Pemeriksaan bagi kemasukan ke Amerika Syarikat akan diperketatkan menerusi langkah saringan tambahan. Foto AFP Relaxnews

(Ubah saiz teks)

KEDUTAAN Amerika Syarikat (AS) mungkin akan meminta kata laluan akaun media sosial milik pemohon visa untuk memasuki negara itu sebagai langkah pemeriksaan latar belakang, kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, John Kelly.

Menurut Kelly, langkah itu merupakan usaha AS membuat semakan terhadap pelawat asing bagi menyaring mana-mana individu yang berkemungkinan boleh mengancam keselamatan.

Beliau berkata, ia adalah salah satu daripada pertimbangan yang bakal dibuat terhadap pelawat asing terutama dari tujuh negara Islam iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

"Kita sedang mengusahakan penambahbaikan atau penambahan saringan," kata Kelly dalam pendengaran Dewan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri. 

"Kita mungkin mahu membuat semakan terhadap media sosial mereka, dengan mendapatkan kata laluan," katanya.

"Sukar untuk membuat semakan terhadap pelawat dari tujuh negara ini. Tetapi jika mereka datang ke sini (AS), kita mahu katakan, apakah laman web yang mereka kunjungi, dan berikan kata laluan (media sosial) mereka kepada kita. 

"Jadi, kita boleh lihat apakah yang mereka buat di Internet. Mereka tak akan masuk ke Amerika Syarikat jika mereka tidak mahu bekerjasama," katanya.

Kelly bagaimanapun berkata, belum ada keputusan mengenai perkara itu tetapi usaha memperketatkan saringan sudah pasti akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Malah katanya, ia termasuk tempoh yang lebih lama bagi pengeluaran visa AS kepada pelawat asing.

Tujuh negara Islam itu menjadi sasaran Presiden AS, Donald Trump pada 27 Januari lalu dengan mengadakan sekatan sementara ke atas pelarian ke AS. —  AFP Relaxnews

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan