Peminat Bollywood Berang Belasah Pengarah Terkenal

Diterbitkan: Rabu, 1 Februari 2017 5:00 PM

Sanjay Leela Bhansali

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Rasa marah dan cemas menyelubungi Bollywood selepas salah seorang pengarah filem tersohornya menjadi mangsa serangan  di Rajasthan, negeri yang terletak di barat benua India.

Sanjay Leela Bhansali dilaporkan ditempeleng dan rambutnya ditarik secara ganas oleh sekumpulan perusuh yang tidak puas hati dengan jalan cerita filem terbaharunya.

Protes terhadap filem Hindi bukan perkara asing dan insiden laku musnah, membakar poster filem serta menyelongkar panggung wayang sering berlaku.

Bagaimanapun, tindakan memukul pengarah filem dan aktor jarang berlaku.

Akibat serangan itu, Bhansali terpaksa membatalkan penggambaran filemnya "Padmavati" di Jaigarh Fort berhampiran Jaipur, ibu negeri Rajasthan.

Kumpulan kasta Shree Rajput Karni Sena dilaporkan bertanggungjawab melakukan serangan ganas pada 27 Januari itu.

'Sena' boleh ditafsirkan sebagai 'tentera' dan terdapat banyak 'Sena' di India yang berjuang demi pelbagai matlamat.

Perusuh Rajasthan naik berang kerana apa yang dianggap sebagai "penyelewengan fakta" mengenai perasaan maharaja Alauddin Khilji terhadap Ratu Padmavati.

Bhansali menyangkal dakwaan bahawa filem yang memaparkan bintang filem terkemuka Ranveer Singh dan Deepika Padukone mempunyai babak hubungan intim.

"Kami menjelaskan tidak ada babak yang terlarang antara Rani Padmavati dan Allauddin Khilji," kata pengarah filem itu dalam kenyataan seperti dilaporkan Bernama.

Kumpulan Karni Sena memberi amaran ia tidak akan membenarkan sebarang ikon sejarah Rajput dilibatkan dengan sebarang unsur kelucahan.

Menurut kisah, Padmavati mengambil keputusan melakukan "jauhar" iaitu mengambil nyawanya sendiri kerana tidak mahu menyerahkan dirinya kepada Khilji.

Padmavati mahu mempertahankan maruahnya apabila maharaja itu melancarkan serangan untuk menawan wilayah Chittorgarh pada 1303.

Meskipun kisah pertempuran Chittorgarh dianggap benar tetapi legenda Padmavati dipertikai oleh ahli sejarah.

Ramai ahli sejarah berkata Padmavati adalah watak fiksyen yang berasal dari puisi epik nukilan pujangga Sufi, Malik Muhammad Jayasi pada kurun ke-16.

"Banyak kisah di setiap negara tetapi ia tidak boleh diterima sebagai sebahagian daripada sejarah. England mempunyai cerita Robin Hood tetapi ia tidak dianggap sebagai sejarah.

"Bagaimanapun, di negara kita, mitos dan cerita dongeng diberi taraf sejarah," media memetik ahli sejarah Irfan Habib sebagai berkata.

Deepika menjelaskan tentang peranannya dalam filem itu melalui 'tweet': "Sebagai Padmavati saya ingin memberi jaminan tidak ada penyelewengan fakta sejarah."

Bintang gandingannya, Ranveer Singh memohon orang ramai supaya bertenang dan memahami keadaan sebenar.

"Sebagai satu pasukan, kami mengambil kira semua perkara yang sensitif dalam masyarakat Rajasthan dan Rajput dalam penggambaran filem 'Padmavati'," katanya

Ramai pihak dalam industri perfileman menyuarakan kemarahan mereka kerana apa yang dilihat sebagai tindakan 'kurang ajar' oleh sesetengah pihak.

Pembuat filem Anurag Kashyap berkata beliau bimbang dengan sikap melampau yang dicetuskan oleh mereka yang mempunyai agenda politik. 

"Kita sekarang berada dalam keadaan yang mana orang yang tidak membaca atau melakukan penyelidikan lebih tahu akan kebenaran daripada mereka yang mencari kebenaran sepanjang usia mereka," kata beliau.

Hansal Mehta, seorang lagi pembuat filem, menggesa orang ramai supaya sedar dan menerima hakikat wujud sikap melampau yang keterlaluan di kalangan masayarakat negara itu.

"Persekitaran politik di negara kita menggalakkan anasir ganas serta tindaan menyerang kebebasan kebudayaan," kata Mehta.

Persatuan Pengeluar Filem dan Televisyen India meminta kerajaan bertindak supaya "insiden seumpama itu tidak berulang."

Sementara itu, banyak pihak di Mumbai, pusat industri filem Hindi India menyeru supaya semua pihak bersatu dan bezakan antara baik dan buruk sebelum melakukan sesuatu.

Bintang filem Farhan Akhtar merayu "sekiranya kita tidak bersatu menentang insiden ganas itu, keadaan akan menjadi bertambah buruk," sementara Karan Johar pula berkata "semua perlu bangkit menentang keganasan seperti itu."

Banyak contoh industri filem menyerah kalah kepada desakan, paksaan serta , keganasan jalanan sebelum ini di Mumbai.

Bollywood banyak menghasilkan cerita mengenai keperwiraan tetapi dalam kehidupan sebenar ia tewas kepada mereka yang tidak menghormati undang-undang serta keamanan.

India menganggap sokongan orang ramai terhadap orang ramai filemnya akan meningkatkan pengaruhnya di luar negara sementara di peringkat dalam negeri, industri ini menjadi sasaran kumpulan yang bertindak membelakangkan undang-undang. 

Tags / Kata Kunci: Sanjay Leela Bhansali , Bollywood

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan