'Puteri Diana' Serikan Istana Kensington

Diterbitkan: Isnin, 30 Januari 2017 11:33 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Atas permintaan dua puteranya, patung Puteri Diana bakal didirikan di Istana Kensington sempena ulang tahun ke-20 kematiannya.

Putera William dan adiknya, Putera Harry menyuarakan hasrat mereka menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak istana baru-baru ini.

"Sudah 20 tahun sejak kematian ibu kami dan ini merupakan masa yang tepat untuk mengingati beliau, dengan adanya patung itu, seluruh dunia dapat merasakan kesan positifnya.

"Ibu kami menyentuh ramai orang, oleh itu kami mengharapkan agar dia akan terus berbuat demikian dengan adanya patung tersebut apabila orang ramai datang melawat ke sini," kata William dan Harry.

Setakat ini, jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengumpul dana pembuatan patung tersebut.

Jawatankuasa ini akan memberi nasihat tentang pemilihan pemahat dan akan bekerjasama dengan Pemasang Patung Istana Diraja untuk meletakkannya di taman-taman awam istana.

Media tempatan yang melaporkan perkara itu menganggap kini Puteri Diana bakal pulang ke 'rumahnya' tidak lama lagi dan melihat anak-anak dan cucu-cucu kesayangannya.

Puteri Diana yang terkenal dengan kerja-kerja amal di seluruh dunia maut dalam kemalangan di Paris pada Ogos 1997 selepas dikejar oleh paparazi.

Walaupun sebahagian daripada istana ini terbuka kepada orang ramai, kompleks tersebut turut memuatkan rumah kedua putera diraja itu.

Putera Harry tinggal bersendirian manakala Putera William tinggal di sebuah pangsapuri bersama dengan isterinya, Kate Middleton dan anak-anak mereka, Putera George, 3 tahun dan Puteri Charlotte, 1 tahun.

Sementara itu, Puteri Diana juga pernah tinggal di salah sebuah pangsapuri tersebut dan membesarkan anak-anaknya di sana walaupun sudah bercerai dengan Putera Charles.

Tags / Kata Kunci: Puteri Diana , Istana Kensington

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan