Kanada Sedia Terima Pelarian Terkandas

Diterbitkan: Isnin, 30 Januari 2017 9:40 AM

(Ubah saiz teks)

OTTAWA: Susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyekat kemasukan pelarian dan pelancong tujuh negara majoriti Islam, Kanada telah membuka pintu kepada mereka yang terkandas berikutan perintah eksekutif itu.

Tawaran penempatan sementara itu dibuat berikutan sekatan kemasukan bagi semua pelarian bagi tempoh 120 hari dan larangan masuk ke AS ke atas warga dari tujuh negara majoriti Islam selama 90 hari.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau kelmarin mengalu-alukan kedatangan imigran ke negaranya melalui mesej di akaun Twitternya.

“Kepada mereka yang lari daripada penyeksaan, keganasan dan peperangan, rakyat Kanada akan menerima anda, tanpa mengira kepercayaan agama. Kepelbagaian adalah kekuatan kami #WelcomeToCanada,” kata Trudeau dalam Twitter.

Bagi membuktikan kesungguhan Kanada, Menteri Imigresennya, Ahmed Hussen turut mengadakan pada sidang media khas berhubung isu itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah individu yang dilarang masuk ke AS dari Kanada. 

Hussen berkata, pentadbiran Trump turut memberi jaminan warga Kanada yang memiliki dua kerakyatan, termasuk tujuh negara terbabit tidak akan terjejas dengan sekatan berkenaan. 

Sabtu lalu, syarikat penerbangan Kanada, WestJet memaklumkan mereka akan membayar balik penumpang yang disekat mengembara ke AS di bawah polisi baharu negara berkenaan. – AFP

Tags / Kata Kunci: Kanada , Trump

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan