Mahkamah Gugur Tuduhan Kes Kren Tumbang - Berita Dunia | mStar

Mahkamah Gugur Tuduhan Kes Kren Tumbang

Diterbitkan: Ahad, 29 Januari 2017 9:39 AM

(Ubah saiz teks)

RIYADH: Mahkamah di Arab Saudi telah menggugurkan 13 pertuduhan membabitkan tragedi runtuhan kren yang mengorbankan lebih 100 jemaah di Makkah, demikan lapor akhbar tempatan di laman web mereka.

Laporan agensi berita Okaz menyebut, bagaimanapun pihak pendakwaan membantah keputusan yang dibuat pada Khamis lalu itu dan akan membuat rayuan.

Pertuduhan itu termasuk terhadap seorang hartawan Arab Saudi, selain dari Pakistan, Filipina, Kanada dan individu lain dari beberapa negara Arab seperti disiarkan Okaz dan Saudi Gazette berkaitan kes yang mula dibicarakan sejak Ogos lalu itu.

Sepanjang lima bulan perbicaraan, sebuah mahkamah jenayah di Makkah memberitahu, ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes melibatkan pelanggaran keselamatan.

Tiada sebarang penjelasan mengapa laporan tersebut merujuk kepada 13 pertuduhan sedangkan pada perbicaraan awal ia melibatkan 14 pertuduhan.

Kesemua defendan didakwa dengan kecuaian yang mengakibatkan kematian, merosakkan harta benda awam dan mengabaikan garis panduan keselamatan di tapak kren runtuh di Masjidil Haram pada September 2015.

Kren itu dikendalikan oleh syarikat pembinaan terkemuka Arab Saudi, Kumpulan Binladin dalam projek bernilai multi-bilion untuk membesarkan kawasan masjid.

Sekurang-kurangnya 109 individu termasuk jemaah haji dari negara luar terkorban dalam insiden tersebut menyebabkan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman mengarahkan syarikat itu digantung selama beberapa bulan daripada menerima kontrak awam baharu.

Kumpulan Binladin ditubuhkan lebih 80 tahun lalu oleh ayah pengasas Al-Qaeda, Osama bin Laden dan telah membina banyak projek bangunan ikonik di Arab Saudi. – AFP



Tags / Kata Kunci: Makkah , Arab Saudi , haji
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan