Obama Tak Mahu Cakap Banyak

Diterbitkan: Jumaat, 20 Januari 2017 10:38 AM

Obama pada sidang media terakhirnya sebelum menyerahkan tugas selaku Presiden AS kepada Donald Trump berkuatkuasa 20 Januari 2017.

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON: Menulis menjadi antara aktiviti yang akan dilakukan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sebaik meninggalkan Rumah Putih.

Obama berkata demikian pada sidang media dan kemunculan terakhir beliau di khalayak umum sebelum menyerahkan pimpinan kerajaan kepada penggantinya, Donald Trump pada Jumaat.

“Saya mahu menulis. Saya mahu menjadi sedikit senyap dan tidak bercakap terlalu banyak. Saya mahu memperuntukkan masa yang berharga bersama anak-anak saya,” katanya.

Bagaimanapun, kata pemimpin berusia 55 tahun ini berikrar akan bersuara jika Trump mengancam nilai-nilai teras AS.

Tambah beliau, jika berlaku sebarang usaha untuk menguatkuasakan diskriminasi, menghakis hak mengundi, menyekat akhbar atau menekan imigran muda, Obama tidak akan teragak-agak bersuara semula.

“Terdapat perbezaan antara fungsi politik normal dan isu-isu tertentu atau masa-masa ter­tentu. Saya fikir nilai teras kita mungkin menjadi taruhan,” katanya dalam ucapan terakhir sebagai Presiden AS selepas lapan tahun memegang jawatan itu.

Beliau juga memaklumkan hasratnya untuk berundur daripada dunia politik kecuali apabila keadaan mendesak.

Sebelum ini, ketika kempen pilihan raya presiden, Trump berikrar untuk menghalang orang Islam daripada memasuki AS dan mengusir kemasukan berjuta-juta pendatang tanpa izin yang kebanyakannya dari Amerika Latin dan telah lama tinggal di negara itu.

“Saya telah menawarkan nasihat saya yang terbaik,” kata Obama sambil menceritakan perbualannya dengan presiden baharu tersebut. – AFP


Tags / Kata Kunci: Obama , Trump , Rumah Putih

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan