Lembu, Kerbau Di India Bakal Miliki Kad Pengenalan

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2017 3:54 PM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Berpuluh-puluh juta lembu dan kerbau di India bakal memiliki kad pengenalan sendiri tidak lama lagi.

Berdasarkan perancangan kerajaan India, kira-kira 41 juta kerbau dan 47 juta lembu akan memiliki nombor kad pengenalan 12 digit pada penghujung tahun ini selepas program tersebut diusahakan sendiri oleh Perdana Menteri Narendra Modi.

Kedua-dua haiwan itu yang dianggap suci oleh masyarakat Hindu, akan diberikan kad kesihatan haiwan, sama seperti sistem Aadhar yang digunakan oleh rakyat India.

Program tersebut merupakan sebahagian usaha Modi untuk meningkatkan pendapatan sektor ternakan menjelang tahun 2022 dan label berwarna kuning akan dipasang pada telinga haiwan itu oleh 100,000 juruteknik di seluruh India, lapor portal The Telegraph.

Kad pengenalan haiwan tersebut akan disimpan oleh pemilik dan mereka boleh mengesan aktiviti serta maklumat bagi setiap haiwan ternakan menerusi maklumat dalam talian.

Maklumat sedemikian akan memastikan tempoh pemberian vaksin dipatuhi, kitaran ternakan dipantau dan membenarkan kajian saintifik untuk meningkatkan kadar pembiakan dan pengeluaran susu yang berkualiti.

Bagi meminimumkan perkara yang tidak diingini berlaku terhadap haiwan itu, label yang dipasang direka khas untuk bertahan selama bertahun-tahun dan hanya seberat lapan gram.

Ini bukan kali pertama lembu di India diberikan kad pengenalan tetapi tidak pernah dilakukan secara besar-besaran.

Pada 2007, pengawal sempadan mula mengeluarkan kad pengenalan bagi lembu yang terdapat di kawasan kampung di Bengal Barat bagi menangani aktiviti penyeludupan haiwan ternakan ke negara jiran, Bangladesh.

Tags / Kata Kunci: India

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan