11 Maut, 75 Cedera Hotel Empat Bintang Terbakar

Diterbitkan: Selasa, 6 Disember 2016 10:22 AM

Sebahagian tetamu hotel yang terselamat berkumpul di luar kawasan sambil memerhatikan pihak berkuasa tempatan menjalankan kerja-kerja menyelamat dan mengawal kebakaran.

(Ubah saiz teks)

KARACHI: Kebakaran di sebuah hotel empat bintang di sini mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, manakala 75 yang lain cedera.

Situasi tambah kritikal apabila Hotel Regent Plaza itu tidak dilengkapi alat penggera kebakaran dan pintu kecemasan, sekali gus menyebabkan ramai yang terperangkap di dalam bilik masing-masing.

Malahan, ada tetamu yang terdesak melompat keluar dari tingkap dan ada yang menggunakan cadar yang diikat menjadi tali untuk menyelamatkan diri.

Kebakaran hotel yang terletak di pusat bandar pelabuhan itu tercetus ketika kebanyakan tetamu sedang tidur. 

Dua pemain kriket antarabangsa Pakistan, Sohaib Maqsood dan Hammad Azam antara yang menginap di hotel berkenaan, namun tidak mengalami kecederaan serius.

“Hotel terbabit tidak mempunyai sistem keselamatan dan pintu kecemasan untuk memindahkan tetamu. Mereka juga tiada penggera kebakaran,” kata Datuk Bandar Karachi, Waseem Akhtar.

Sementara itu, tetamu hotel itu yang turut cedera dalam kebakaran, Saeed ur Rehman berkata: “Tetamu yang terperangkap terpaksa memberanikan diri menjadikan cadar sebagai tali dan turun seorang demi seorang. Ramai orang yang cedera.”

Menurut polis, kebakaran itu mengambil masa tiga jam untuk dikawal.

Doktor di Hospital Jinnah Karachi, Semi Jamali berkata, pihaknya menerima 11 mayat, empat daripadanya wanita dan 75 yang lain cedera.

Katanya, kebanyakan mangsa mengalami masalah pernafasan akibat terhidu banyak asap dan ada juga yang luka atau patah tulang ketika melompat dari hotel lapan tingkat itu untuk menyelamatkan diri.

Penguasa Kanan Polis, Saqib Memon mengesahkan jumlah kematian dan berkata, punca kejadian masih belum diketahui sehingga siasatan dilancarkan. - AFP
Tags / Kata Kunci: Karachi , Hotel Regent Plaza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan