Lubang Benam Gergasi Di Jepun Tenggelam Semula

Diterbitkan: Selasa, 29 November 2016 10:12 AM

PERBEZAAN dalam tempoh seminggu selepas kejadian lubang benam (kanan) berlaku di bandar Fukuoka, barat daya Jepun. - AFP

(Ubah saiz teks)

TOKYO: Lokasi lubang benam yang dibaiki dalam tempoh seminggu di Jepun baru-baru ini, terpaksa ditutup semula apabila tanah di kawasan itu mendap semula.

Rata-rata media tempatan dan luar negara memuji kepakaran Jepun untuk membaiki lubang benam seluas 30 meter lebar dan 15 meter dalam di Fukuoka, barat daya negara itu.

Namun Datuk Bandar Fukuoka, Soichiro Takashima terpaksa meminta maaf apabila jalan tersebut ditutup semula selepas permukaan tanah mula tenggelam kira-kira 6.8 sentimeter.

Masalah tersebut timbul pada Ahad lalu sehingga menyebabkan berlaku kesesakan teruk kerana lubang benam itu terletak di kawasan persimpangan yang sibuk.

Rangkaian televisyen CCN yang memetik kenyataan Takashima menerusi laman sosial Facebook berkata, beliau meminta maaf kerana tidak mengeluarkan amaran kepada penduduk tentang kejadian terbaharu itu.

CNN turut melaporkan, pakar telah menjangkakan berlaku pergerakan memandangkan simen dan tanah digunakan dalam kerja-kerja pemulihan tersebut.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tempoh yang diperlukan pihak berkuasa Fukuoka untuk membaiki semula jalan itu.

Tags / Kata Kunci: Lubang Benam , Jepun , Fukuoka

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan