NZ Hadapi 100,000 Tanah Runtuh Akibat Gempa Bumi

Diterbitkan: Rabu, 16 November 2016 10:50 AM

(Ubah saiz teks)

CHRISTCHURCH: Gempa bumi kuat bermagitud 7.8 yang menggegarkan Pulau Selatan di New Zealand mencatatkan kira-kira 100,000 kejadian tanah runtuh.

Tragedi itu juga mendorong pasukan penyelamat bertungkus-lumus memindahkan ribuan penduduk dan pelancong yang terkandas.

Helikopter tentera mula mengangkut kumpulan pertama seramai 1,200 pelancong keluar dari Kaikoura selepas bandar tepi pantai itu teruk terjejas dalam gempa bumi awal pagi Isnin itu.

Beberapa pegawai berkata, operasi menyelamat akan turut disertai tentera Jepun dan Amerika Syarikat.

Helikopter terpaksa digunakan selepas tanah runtuh menimbus jalan raya dan laluan kereta api menuju ke Kaikoura, mengakibatkan bandar itu terputus hubungan.

Selain itu, kejadian yang menyebabkan berlakunya gangguan bekalan elektrik dan kekurangan air juga menimbulkan masalah di kalangan beratus-ratus mangsa di beberapa pusat perpindahan.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, John Key berkata, penduduk Kaikoura sekitar 2,000 dan jumlah meningkat berikutan kehadian pelancong yang tertarik untuk melihat ikan paus di perairan tersebut.

Beliau berkata, operasi memindahkan mangsa terperangkap diberi keutamaan dengan empat helikopter tentera udara serta beberapa helikopter awam telah mula ke lokasi terlibat.

Selain itu, di laut pula, kapal perang, HMNZS Canterbury kini bergerak ke Kaikoura dan akan memindahkan beratus-ratus lagi mangsa setibanya di lokasi itu.

Terdahulu Key berkata, kos membaik pulih kerosakan akibat bencana itu dijangka mencecah beberapa bilion dolar dengan keutamaan diberikan untuk menyalurkan bekalan ke lokasi terjejas.

“Bekalan ini termasuk air, makanan dan tandas bergerak,” katanya kepada saluran televisyen TVNZ sambil menambah, pihak berkuasa juga akan mengeluarkan pelancong yang terperangkap serta melakukan kerja pembersihan berskala besar.

Gegaran kelmarin dianggap antara yang paling kuat pernah melanda negara rantau Pasifik Selatan itu dan diikuti lebih 1,200 gempa susulan.

Pada 2011, sekurang-kurangnya 185 orang terkorban selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.3 melanda New Zealand. – AFP



Tags / Kata Kunci: Kaikoura , John Key , Pulau Selatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan