Netanyahu Sokong Had Laungan Azan

Diterbitkan: Selasa, 15 November 2016 9:51 AM

(Ubah saiz teks)

BAITULMUQADDIS: Benjamin Netanyahu mendakwa kekerapan aduan rakyatnya mengenai bunyi bising sistem pembesar suara masjid mendorong beliau menyokong rang undang-undang untuk mengehadkan laungan azan.

Perdana Menteri Israel itu juga berkata, langkah itu diputuskan kerana bimbang ia boleh memecahbelahkan rakyat.

“Saya tidak dapat mengira jumlahnya, terlalu kerap rakyat daripada semua lapisan masyarakat dan agama mengadu kepada saya tentang bunyi bising sistem pembesar suara masjid semasa laungan azan,” kata Netanyahu ketika membuka mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun media Yahudi melaporkan, rang undang-undang itu akan menghentikan laungan azan menggunakan sistem pembesar suara di masjid.

Draf rang undang-undang itu dilihat menyasarkan masjid walaupun meliputi semua rumah ibadah.

Mengikut prosedur, rang undang-undang itu perlu dibentangkan dan dibahas sebanyak tiga kali di Parlimen Israel sebelum diwartakan menjadi undang-undang.

Sebanyak 17.5 peratus penduduk Israel terdiri daripada bangsa Arab yang kebanyakannya beragama Islam dengan mereka mendakwa menjadi mangsa diskriminasi rejim Zionis.

Baitulmuqaddis Timur dihuni majoriti rakyat Palestin dan menjadi amalan muazin melaungkan azan menggunakan pembesar suara.

Institut Demokrasi Israel, sebuah badan pemikir berkecuali bagaimanapun menolak rang undang-undang itu.– AFP

Tags / Kata Kunci: Netanyahu , Israel , azan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan