Israel Lulus Usul Bina Penempatan Haram Tanpa Kelulusan

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2016 4:52 PM

PENDUDUK Palestin sekadar melihat bom asap yang dilepaskan pasukan keselamatan Israel semasa tunjuk perasaan bagi membantah pencerobohan tanah penduduk Palestin di Tebing Barat pada 11 November 2016. - AFP

(Ubah saiz teks)

TEL AVIV: Israel meluluskan usul kontroversi yang membenarkan penempatan haram Yahudi dibina di kawasan milik penduduk Palestin di Tebing Barat tanpa memerlukan kelulusan kerajaan.

Usul terbabit hanya perlu dibahaskan di Parlimen dan disemak oleh Mahkamah Agung sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.

Undian dibuat pada Ahad pada peringkat jawatankuasa kementerian untuk mendapat kelulusan bagi menghalang pendatang haram Yahudi di kawasan penempatan Amona keluar dari kawasan tersebut pada akhir tahun ini.

Sebelum ini, Mahkamah Agung Israel mengarahkan semua penduduk mengosongkan kawasan itu dan proses merobohkan rumah mereka akan dilaksanakan sebelum 25 Disember.

Amona, kawasan yang terletak berhampiran bandar Ramallah di Tebing Barat, dihuni kira-kira 40 keluarga pendatang Yahudi dan kediaman mereka dibina di tanah millik penduduk Palestin yang mengadakan pungutan suara kepada pihak mahkamah supaya hak mereka dibela.

Masyarakat antarabangsa menganggap kesemua penempatan Israel di kawasan Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat sebagai penempatan haram sama ada diluluskan kerajaan rejim Zionis atau tidak.

Kerajaan Israel sebelum ini meluluskan beberapa projek untuk penempatan haram Yahudi yang menyaksikan penduduk Palestin diusir dari rumah mereka.

Mereka menggunakan pelbagai cara termasuk mengeluarkan arahan mahkamah atau tentera untuk memastikan penduduk Palestin tunduk kepada kehendak mereka.

Namun setakat ini, mahkamah Israel hanya menetapkan penempatan yang dibina tanpa kelulusan kerajaan dianggap sebagai tidak sah.

Pembinaan kawasan penempatan haram kebiasaannya melibatkan tindakan ganas pendatang Yahudi yang bersenjata menceroboh rumah dan ladang penduduk Palestin di Tebing Barat.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia menuduh tentera Israel 'menutup mata' terhadap perbuatan kejam itu atau membantu pendatang Yahudi.

Tags / Kata Kunci: Israel , Palestin , Tebing Barat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan