Penggunaan 'Babi' Untuk Web Alibaba Cetus Kemarahan Umat Islam

Diterbitkan: Rabu, 2 November 2016 11:30 PM

(Ubah saiz teks)

BEIJING: Gergasi 'e-dagang' Cina, Alibaba, telah menukar nama laman web percutiannya sebagai memenuhi kehendak generasi muda yang merupakan kumpulan pelanggan utamanya, umum syarikat itu, Selasa.

Kumpulan itu minggu lalu mengumumkan bahawa ia telah melakukan penjenamaan semula portal percutiannya dengan menukar nama laman web dari Alitrip.com kepada Fliggy.com.

Nama baharu 'feizhu' itu bermaksud 'babi terbang' dalam bahasa Cina. Syarikat itu juga memperkenalkan imej seperti kartun babi sebagai logo baharunya.


"Matlamat utama penjenamaan semula ini adalah untuk menarik demografi muda yang menyumbang lebih dari 80 peratus daripada pelanggan kami," kata Alibaba dalam satu kenyataan.

Kira-kira 80 peratus daripada pengguna Fliggy.com dilahirkan selepas tahun 1985 dan syarikat itu akan berusaha untuk memberikan perkhidmatan bagi kumpulan itu pada masa akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Fliggy.com , Li Shaohua kepada National Business Daily, Selasa.

Nama baharu adalah lebih mudah dikenal pasti dan diingati, menurut laporan itu.

Keputusan itu bagaimanapun telah mencetuskan perbincangan hangat beberapa hari ini, terutamanya di kalangan umat Islam yang menganggap babi sebagai najis.

Usahawan Uyghur dalam industri makanan di Changsha, wilayah Hunan, Adili Maimaititure pada Jumaat berkata di Sina Weibo bahawa dia pernah menyokong Alitrip, kerana ia menjadikan tempahan tiket kereta api atau pengangkutan udara kumpulan etnik itu lebih mudah.

Tetapi kini, dia akan memilih untuk memadam aplikasi itu kerana namanya telah ditukar kepada feizhu.

Katanya, babi adalah dilarang bagi orang Islam dan Alibaba sepatutnya mempertimbangkan perkara ini sebelum menukar nama. Katanya, dia percaya orang Islam lain juga akan mengambil tindakan yang sama.

Peng Gaocheng, seorang pakar kajian etnik bersara di Shanghai, berkata kebimbangan Maimaititure adalah munasabah.

"Saya rasa Alibaba perlu lebih berhati-hati mengenai pertukaran namanya kerana ia akan menyebabkan sesetengah umat Islam berasa tersinggung," kata Gaocheng kepada Sixth Tone, sebuah laman web bahasa Inggeris milik ThePaper.cn.

Alibaba dalam kenyataannya berkata: "Kami menerima kepelbagaian dan menghormati semua kepercayaan dan agama. Perubahan nama ini bertujuan untuk menggambarkan aspirasi demografi untuk mengejar impian, duduk semula dan menikmati kehidupan."

Netizen bernama Han Dongyan menulis di Sina Weibo: "Alibaba mempunyai hak untuk menukar nama dan adalah salah apabila orang lain diseru agar memboikotnya hanya kerana simbol."

Kemudian, Maimaititure berkata di Sina Weibo bahawa dia memohon maaf atas 'ekspresi yang tidak betul' ke atas perubahan nama itu.

"Feizhu sekadar nama dan tidak mempunyai makna besar," kata netizen lain.

"Adalah tidak masuk akal untuk memboikot syarikat itu hanya kerana namanya ditukar." -China Daily/Asia News Network.

Tags / Kata Kunci: Alibaba , Fliggy , aplikasi percutian

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan