Lebih 230 Maut Akibat Dipaksa Jadi 'Perisai Manusia' - Berita Dunia | mStar

Lebih 230 Maut Akibat Dipaksa Jadi 'Perisai Manusia'

Diterbitkan: Sabtu, 29 Oktober 2016 11:22 AM

Kanak-kanak di sekitar bandar Mosul dalam keadaan tidak terurus berikutan peperangan yang tercetus angkar militan Daesh.

(Ubah saiz teks)

GENEVA: Lebih 230 penduduk Mosul terkorban angkara militan Daesh beberapa hari lalu ketika tentera Iraq melancarkan gerakan untuk merampas semula bandar itu.

Kejadian itu berlaku ketika militan Daesh memaksa penduduk yang tinggal di bandar yang terletak di utara Iraq itu masuk ke Mosul untuk mempertahankan kubu terakhir kumpulan pengganas itu.

Menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ravina Shamdasani, daripada jumlah itu, 190 adalah bekas anggota pasukan keselamatan Iraq.

"Pada Rabu lalu, seramai 232 orang awam dilaporkan dibunuh dengan majoriti adalah bekas anggota pasukan keselamatan Iraq,” katanya di sini.

Beliau juga menjangka bilangan orang awam yang dibunuh sejak beberapa hari lalu mungkin meningkat.

Shamdasani berkata, militan Daesh mahu menjadikan penduduk awam itu sebagai ‘perisai manusia’ dalam pertempuran di Mosul dengan tentera elit Iraq yang disokong Amerika Syarikat.

“Mereka telah memaksa berpuluh-puluh ribu penduduk meninggalkan rumah masing-masing di beberapa daerah sekitar bandar tersebut,” kata Shamdasani.

Mangsa yang dibunuh termasuklah orang awam yang enggan mematuhi arahan penempatan semula dan mereka yang sebelum ini bekerja dengan perkhidmatan keselamatan kerajaan. – AFP




Tags / Kata Kunci: Daesh , Mosul , PBB , Ravina Shamdasani
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan