Kereta Api Tergelincir Di Cameroon, 53 Maut - Berita Dunia | mStar

Kereta Api Tergelincir Di Cameroon, 53 Maut

Diterbitkan: Sabtu, 22 Oktober 2016 11:03 AM

PENUMPANG yang terselamat berjalan keluar dari lokasi insiden kereta api tergelincir berdekatan pekan Eseka pada 21 Oktober 2016. - AFP

(Ubah saiz teks)

YAOUNDE: Sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh dan lebih 300 mangsa lagi cedera apabila sebuah kereta api yang sarat dengan penumpang tergelincir di laluan yang menghubungkan antara dua bandar terbesar di Cameroon pada Jumaat.

Menteri Pengangkutan Edgar Alain Mebe Ngo'o berkata, dalam kejadian berkenaan, kereta api antara bandar, Camrail yang dalam perjalanan dari ibu negara, Yaounde ke bandar pelabuhan Douala tergelincir kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan ketika menghampiri stesen kereta api di Eseka yang terletak 120 kilometer ke arah barat.

Seorang wartawan Reuters yang menaiki kereta api itu berkata, dia mendengar bunyi kuat ketika insiden tersebut berlaku dan mendapati gerabak di belakangnya tergelincir dari landasan.

"Sebelum berlepas dari Yaounde, beberapa gerabak ditambah untuk penumpang tambahan, tetapi saya tidak pasti sama ada perkara itu menjadi punca kejadian," katanya.

Seorang pekerja Camrail yang enggan dikenali berkata, antara mangsa yang terbunuh merupakan wanita dan kanak-kanak selain tiga rakan sekerjanya.

Menurut seorang penumpang dikenali sebagai Joel Bineli, dia melihat banyak mayat penumpang bergelimpangan di atas landasan dekat kawasan kejadian.

Punca sebenar kejadian masih lagi disiasat. - REUTERS

Tags / Kata Kunci: Kereta Api , Tergelincir
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan