Iraq Mula Operasi Tawan Semula Mosul

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2016 10:08 AM

PASUKAN elit antikeganasan Iraq berkumpul di Irbil pada 14 Oktober 2016 untuk menyertai operasi menawan semula bandar Mosul yang dikuasai militan Daesh. - AFP

(Ubah saiz teks)

BAGHDAD: Tentera Iraq memulakan operasi ketenteraan secara besar-besaran untuk  merampas semula bandar Mosul yang dikuasai militan Daesh pada Isnin.

Operasi itu diumumkan oleh Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi dengan harapan bandar kedua terbesar di negara itu dan kubu terakhir di bawah penguasaan Daesh ditawan semula.

"Waktunya telah tiba dan detik-detik kejayaan semakin hampir," kata Haider menerusi satu ucapan yang disiarkan rangkaian televisyen tempatan sambil ditemani komander tertinggi tentera.

Usaha untuk merampas semula bandar Mosul dibuat selepas pihak tentera Iraq yang disokong puak bersenjata dan serangan udara tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS), berjaya menghapuskan penguasaan Daesh di beberapa wilayah yang ditawan pada 2014 dan 2015.

Wartawan Al Jazeera, Zeina Khodr melaporkan dari Khazir, timur Mosul, persediaan untuk operasi itu telah lama dilakukan dengan anggota tentera ditempatkan di sekeliling bandar tersebut yang masih didiami kira-kira sejuta penduduk.

"Pertempuran ini dijangka berlanjutan bagi tempoh yang lama melainkan militan Daesh memilih untuk berundur.

"Sukar untuk dinyatakan, tetapi operasi ini sangat rumit," katanya.

Sejak Ahad, tentera udara Iraq menggugurkan berpuluh-puluh ribu notis untuk dirujuk kepada penduduk Mosul menyelamatkan diri sebelum operasi tersebut dimulakan.

Tags / Kata Kunci: Iraq , Mosul , Daesh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan