Editor Portal Berita Vietnam Dipecat Isu Temuramah Penentang Kerajaan - Berita Dunia | mStar

Editor Portal Berita Vietnam Dipecat Isu Temuramah Penentang Kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 5 Oktober 2016 8:52 AM

(Ubah saiz teks)

HANOI: Editor portal berita Vietnam dipecat selepas menyiarkan petikan temuramah dengan seorang penentang kerajaan yang menjadi buangan politik, menurut kerajaan negara itu.

Ia merupakan langkah terbaharu bagi menyekat kebebasan bersuara di negara yang berkerajaan autoritarian.

Media Vietnam dikawal ketat oleh kerajaan, yang sering menghukum penjara terhadap penulis blog pro-pembangkang tetapi amat jarang memecat editor tertinggi.

Menurut Kementerian Penerangan dan Komunikasi, Nguyen Nhu Phong yang merupakan editor PetroTimes dipecat dan dilucutkan kad medianya kerana melakukan kesalahan melibatkan aktiviti media.

Tambah kementerian, portal itu akan digantung selama tiga bulan.

Bagaimanapun ia tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca penutupan sementara laman web itu. 

Pemecatan editor itu susulan PetroTimes menyiarkan sebahagian temuramah bersama aktivis anti kerajaan yang berpangkalan di Jerman, Bui Thanh Hieu.

Dalam petikan itu, yang telah ditarik daripada penyiarannya, aktivis itu dilaporkan berkongsi dokumen bagi mempertahankan seorang bekas pegawai yang didakwa terlibat dalam penyelewengan di sebuah firma pembinaan. - AFP


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan