Aleppo Bagai 'Neraka' - PBB

Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2016 12:29 PM

(Ubah saiz teks)

ALEPPO: Kehidupan rakyat Syria di bandar ini digambarkan bagai di 'neraka' susulan serangan udara berterusan sejak lima tahun lalu hingga memusnahkan Aleppo bandar kedua terbesar yang juga pusat ekonomi negara.

Sehubungan itu, ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephen O’Brien menggesa tindakan segera dilakukan bagi mengakhiri penderitaan yang dialami penduduk di timur Aleppo masa kini.

“Sistem penjagaan kesihatan di timur Aleppo hampir kesemuanya telah musnah.

Kemudahan perubatan juga dibedil satu persatu,” kata O’Brien.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia turut menyifatkan Syria sebagai tempat paling berbahaya di dunia kepada pekerja-pekerja kesihatan dan segala infrastruktur perubatan di Aleppo musnah atau mengalami kerosakan besar.

Dua hari lalu, tentera rejim Syria semakin mara ke bandar ini selepas Rusia melancarkan berpuluh-puluh serangan udara.

Bandar itu kini terpecah akibat pertempuran berterusan antara tentera kerajaan dan puak pemberontak.

Tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad mengumumkan serangan besar-besaran dengan bantuan sekutunya, Moscow pada 22 September lalu bagi menawan semula kawasan timur yang ditawan pihak pemberontak.

Berpuluh-puluh serangan udara disasarkan ke beberapa kawasan perang di bandar itu sepanjang hari kelmarin, namun berkurang menjelang petang, kata pemberita AFP.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, kumpulan pemberontak dan tentera rejim masih berbalas tembakan meriam di beberapa kejiranan di serata Aleppo, manakala tentera rejim yang mara ke utara bandar itu telah tiba di pinggir daerah Al-Heluk.

Jika tentera yang setia kepada Bashar merampas Al-Heluk, Bustan al-Basha dan Sakhur di utara Aleppo, mereka akan membataskan penguasaan pemberontak ke satu bahagian kecil di tenggara di bandar itu.

Kempen ketenteraan Bashar yang disokong Rusia di Aleppo mencetuskan kemarahan antarabangsa terutama selepas dua bom barel terkena hospital terbesar di timur bandar itu pada Sabtu lalu. – AFP



Tags / Kata Kunci: Aleppo , Syria , PBB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan