Rakyat Colombia Enggan Berdamai Dengan Pemberontak - Berita Dunia | mStar

Rakyat Colombia Enggan Berdamai Dengan Pemberontak

Diterbitkan: Isnin, 3 Oktober 2016 11:21 AM

Kumpulan penyokong perjanjian damai antara kerajaan Colombia dan pemberontak FARC, menangis kerana kecewa keputusan pungutan suara tidak memihak kepada mereka. -AFP

(Ubah saiz teks)

BOGOTA: Harapan untuk mengakhiri pemberontakan selama 52 tahun di Colombia semakin samar apabila majoriti rakyat negara itu tidak bersetuju dengan langkah kerajaan untuk melaksanakan perjanjian damai bersama kumpulan pemberontak.

Keputusan mengejutkan itu diperoleh berdasarkan pungutan suara yang dijalankan pada Ahad untuk meminta pandangan rakyat bagi menyelesaikan konflik tersebut.

Kem "tidak" meraih kemenangan tipis dengan jumlah 50.21 peratus berbanding kumpulan yang menyokong usaha kerajaan dengan meraih 49.78 peratus.

Hanya 37 peratus penduduk yang layak, keluar membuat keputusan disebabkan hujan lebat yang melanda seluruh negara.

Pilihan rakyat itu juga menyaksikan masa depan negara yang tidak menentu dan menjejaskan usaha Presiden Colombia, Juan Manuel Santos bagi menamatkan persengketaan dengan pemberontak Kumpulan Bersenjatan Revolusi Colombia (FARC).

Santos berkata, gencatan dengan dengan FARC masih lagi berkuatkuasa dan beliau akan mengadakan rundingan dengan kem "tidak" pada Isnin selain menghantar ketua perundingnya ke Cuba untuk berbincang dengan pemimpin pemberontak.

"Saya tidak akan mengalah, saya akan mengejar keamanan sehingga hari terakhir saya sebagai Presiden kerana ia merupakan usaha terbaik demi menjadi masa depan anak-anak kita dan negara," katanya.

Santos tidak boleh dipilih semula sebagai Presiden apabila beliau tamat berkhidmat pada Ogos 2018 selepas memegang jawatan itu selama dua penggal.

Malah keputusan tinjauan tersebut dikhuatiri akan mencetuskan kembali peperangan antara kerajaan dan FARC.

Mesej yang sama turut disampaikan oleh komander FARC, Rodrigo Londono atau dikenali sebagai Timovchenko.

"FARC mengulangi pendirian iaitu hanya menggunakan suara (rundingan) sebagai senjata untuk membina masa depan.

"Kepada rakyat COlombia yang impikan keamanan, anda boleh letakkan harapan itu kepada kami dan kedamaian akan tercapai," katanya.



Tags / Kata Kunci: Colombia , FARC , Pemberontakan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan