Demam Pilihan Raya Daerah Di Indonesia Bermula

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2016 10:19 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Walaupun pilihan raya umum daerah (Pilkada) serentak bagi tujuh wilayah di Indonesia dijadual berlangsung lima bulan lagi, demam untuk memilih wakil rakyat termasuk Gabenor itu telah bermula sebaik tempoh penamaan calon ditutup tengah malam hari Jumaat lepas.

Tujuh provinsi yang terlibat dalam Pilkada yang dijadual 15 Feb 2017 itu ialah Daerah Khusus Ibukota Jakarta, Aceh, Bangka Belitung, Banten, Gorontalo, Sulawesi Barat dan Papua Barat.

Setelah tamat tempoh penamaan calon suruhanjaya itu, Pengarah Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) Husni Kamil Manik mengesahkan 153 pasangan calon mendaftar untuk bertanding bagi merebut tujuh jawatan Gabenor dan timbalan, 18 jawatan Datuk Bandar dan timbalan serta 76 jawatan Ketua Daerah (Bupati) dan timbalannya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 116 pasangan calon bertanding atas tiket parti politik manakala selebihnya bertanding sebagai calon Bebas dan kesemua calon kini sedang melalui ujian kesihatan termasuk ujian mental dan ujian air kencing bagi memastikan mereka sihat dan bebas daripada dadah.

Selepas melalui ujian kesihatan dan dadah itu, KPU akan membuat pemeriksaan rekod peribadi calon sehingga 5 Okt sebelum mengumumkan secara rasmi sama ada mereka layak bertanding atau sebaliknya pada 24 Okt depan.

TUMPUAN MEDIA

Media-media tempatan memberi tumpuan pada pemilihan Gabenor bagi bandar raya Jakarta apabila perebutan jawatan di ibu negara republik itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Perebutan jawatan nombor satu Jakarta itu menjadi isu sejak setahun lepas apabia penyandangnya Basuki Tjahaja (Cahaya) Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, sering menjadi bahan utama berita kerana ketegasannya yang luar biasa.

Ahok juga sering dikritik ahli-ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sesetengah rakyat di Jakarta kerana pemimpin berasal dari Pulau Belitung itu dikatakan panas baran dan mudah melenting.

Beliau pernah bertengkar dengan wakil rakyat daerah di Jakarta malah pernah memecat puluhan penjawat awam dipercayai tidak amanah.

Namun tidak kurang yang memuji Ahok atas keberaniannya mengambil tindakan tidak popular untuk membersihkan ibukota itu daripada setinggan dan penjaja haram malah pernah menimbulkan kontroversi apabila tidak meluluskan bajet tahunan Dewan Perwakilan Daerah Jakarta iaitu setaraf Dewan Undangan Negeri di Malaysia setelah mendakwa bajet itu sangat mengelirukan.

Beliau yang sebelum memenangi kerusi Timbalan Gabenor, dilantik sebagai Gabenor bagi mengisi kekosongan apabila Joko Widodo melepaskan jawatan itu untuk bertanding bagi sebagai Presiden Republik Indonesia pada dua tahun lepas.

Ahok sebelum ini mengisytiharkan akan bertanding sebagai calon bebas dan sebuah NGO yang dikenali sebagai "Teman Ahok" bekerja untuk beliau dengan mengutip hampir sejuta salinan kad pengenalan pemilih di Jakarta sebagai bukti sokongan terhadapnya.

SOKONGAN POLITIK

Bekas anggota parti Gerindra itu akhirnya memilih saluran parti politik setelah mendapat sokongan dan restu parti pimpinan bekas presiden Megawati Sokarnoputri iaitu PDI-P untuk bertanding atas tiket parti itu.

Walaupun tidak menganggotai mana-mana parti politik, Ahok dan pasangan timbalannya Djarot Saiful Hidayat turut mendapat sokongan parti Golkar dan Nasdem.
Kini secara rasmi Ahok akan dicabar oleh dua pasangan yang bertanding atas dua lagi gabungan parti-parti politik iaitu pasangan Anies Bsawedan-Sandiaga Uno dan pasangan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni.

Kedua-dua pasangan itu dijangka memberi saingan sengit kerana jika Ahok proksi pengaruh Megawati, dua lagi pasangan pencabarnya melambangkan kekuatan pengaruh presiden Susilo Bambang Yodhoyono dan bekas calon presiden 2014 Prabowo Subianto.

Menurut laporan-laporan media tempatan, kemunculan Agus Harimurti iaitu anak sulung Susilo Bambang Yodhoyono untuk menyetai pilihan raya itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan diluar jangkaan semua pihak.

Keputusan bersama Parti Demokrat yang dipimpin oleh Susilo dengan para pemimpin parti Parti Persatuan Pembangunan, Parti Amanat Nasional dan Parti Kebangkitan Bangsa, bersetuju mencalonkan Agus di saat-saat terakhir dan namanya hanya diumum pada malam sebelum hari penamaan calon.

Agus, 38, pegawai tentera berpangkat Mejar itu meletak jawatan sehari sebelum namanya diumumkan dan kehadirannya dikatakan sebagai satu lagi legasi politik anak bekas seorang presiden negara.

Seorang pemimpin kanan parti itu, Nachrowi Ramli berkata pemilihan Agus bukanlah dilakukan oleh Susilo tetapi dicalonkan oleh beberapa parti lain dan keputusan itu turut memeranjatkan keluarga Agus.

Pasangan Agus berpasangan dengan Sylviana, seorang pegawai tinggi di Pejabat Gabenor mahu memberi ruang kepada rakyat Jakarta untuk memilih yang terbaik di antara mereka.

Agus dipetik sebagai berkata walaupun beliau terlalu sayang dengan karier ketenteraannya tetapi beliau bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dan pertandingan merebut jawatan Gabenor adalah sebagai langkah pertamanya.

Pencabar kedua Ahok ialah bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Dr Anies Baswedan yang berpasangan dengan usahawan terkenal Sandiaga Salahuddin Uno dan pasangan itu bertanding atas sokongan koalisi Parti Gerindra dan Parti Keadilan Sejahtera.

Anies adalah seorang cendekiawan yang pernah dilantik sebagai menteri Joko Widodo namun beliau digugurkan daripada kabinet pada bulan lepas tanpa sebarang alasan.

Pasangan timbalannya Sandiaga adalah seorang ahli perniagaan muda yang terkenal dan majalah Forbes pernah menyenaraikannya sebagai orang yang ke-29 terkaya di Indonesia.

Sandiaga berkata berpasangan dengan Anies diibaratkan sebagai gandingan golongan profesional dan penglibatan mereka dalam politik adalah untuk membantu dan menyelesaikan masalah rakyat.

"Kami temui pelbagai masalah dalam masyarakat Jakarta. Seperti susahnya mendapat peluang pekerjaan dan melambungnya harga keperluan harian, oleh itu kami mahu selesaikan masalah ini dan kami bersiap sedia membantu masyarakat Jakarta," katanya.

Berdasarkan rekod KPU, terdapat sebanyak lebih 7.4 juta warga ibu kota Jakarta layak mengundi untuk memilih Gabenor dan timbalannya pada Pilkada 2017.

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan