Tiga Polis Thailand Terbunuh Dalam Serangan Di Yala

Diterbitkan: Sabtu, 24 September 2016 8:34 AM

Tiga anggota polis Thai maut dan dua yang lain cedera parah apabila dua buah kereta dinaiki mereka terkena letupan bom tepi jalan sebelum ditembak dalam kejadian yang berlaku pada 11 pagi Jumaat (waktu tempatan) di Kampung Lubok Kalo, Krong Pinang di Yala. -fotoREUTERS

(Ubah saiz teks)

YALA: Tiga anggota polis maut manakala dua lagi cedera parah apabila dua buah kereta dinaiki mereka terkena bom tepi jalan di Kampung Lubok Kalo, Krong Pinang, di sini, Jumaat.

Sebaik sahaja letupan berkenaan, anggota polis berkenaan diserang hendap dan berbalas tembak dengan tujuh hingga 10 anggota kumpulan militan.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mej Jeneral Ittipol Achariat-pradit berkata dalam kejadian pukul 11 pagi waktu tempatan itu, anggota kumpulan itu turut melarikan enam laras senjata milik anggota polis tersebut.

Beliau berkata letupan daripada bom seberat 80kg itu menyebabkan sebuah kereta dinaiki tiga anggota polis itu melambung setinggi lima meter.

Kekuatan letupan bom tepi jalan itu, katanya, turut menyebabkan kereta dinaiki anggota polis itu terputus dua, selain meninggalkan lubang sedalam kira-kira satu meter di jalan raya itu.

Menurutnya, kesemua anggota polis terbabit sedang dalam perjalanan pulang selepas melakukan tugas risikan mengenai kegiatan penyeludupan dadah di kawasan berhampiran.

Menurut Ittipol, pihaknya percaya insiden serangan itu didalangi oleh anggota militan dikenali sebagai 'Ubaidillah Ramlee' dan usaha sedang dilakukan untuk menjejaki anggota kumpulan tersebut.
Tags / Kata Kunci: serangan Yala , polis Thailand , Krong Pinang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan