Angka Korban Tragedi Bot Karam Meningkat, Kapten Tiada Lesen Sah

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2016 2:04 PM

AHLI keluarga mangsa tragedi bot karam di Sungai Chao Phraya, menghadiri majlis pengkebumian di tanah perkuburan dekat Ayutthaya pada 19 Septemeber 2016. - REUTERS

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand mengesahkan bahawa kapten bot yang terlibat dalam tragedi bot karam di tengah negara ini pada Ahad, menggunakan lesen yang telah tamat tempoh.

Timbalan Datuk Bandar Ayutthaya, Rewat Prasong berkata, angka kematian akibat tragedi di Sungai Chao Phraya itu juga sudah meningkat kepada 26 orang termasuk lapan kanak-kanak.

Tambahnya, tiga mangsa iaitu dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan masih hilang dalam kejadian tersebut.

"Kapten bot itu berdepan dakwaan memiliki lesen tamat tempoh, membawa ramai penumpang melebihi muatan dan melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Kapten bot tersebut dikenali sebagai Wirach Chaisirikul berusia 67 tahun dan kini berada dalam tahanan polis untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian tersebut, bot yang membawa kira-kira 100 penduduk Islam yang baru selesai menunaikan solat di sebuah masjid, tenggelam dalam tempoh beberapa saat apabila melanggar tebing konkrit akibat dihanyutkan arus deras.

Penduduk Islam di kawasan tersebut sering menggunakan perkhidmatan bot untuk berulang-alik masjid dari Ayutthaya ke Nonthaburi.

Dalam perkembangan sama, ramai pihak menyalahkan pihak berkuasa Thailand atas kejadian tersebut kerana kegagalan Jabatan Maritim dalam memastikan peraturan keselamatan sektor pengangkutan air dipatuhi setiap masa.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Pengarah agensi tersebut, Nat Chuchai berkata, pihaknya sering mengingatkan pemandu bot agar mengambil langkah keselamatan termasuk soal had muatan dan kelajuan.

Namun katanya, ramai kapten bot mengabaikan perkara itu dan penumpang juga kurang didedahkan tentang langkah-langkah yang perlu dilakukan jika berlaku kecemasan.

"Jabatan kami juga kekurangan staf untuk memastikan tahap keselamatan dipatuhi di semua kawasan," katanya. - AFP

Tags / Kata Kunci: Bot Karam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan