455 Rakyat Malaysia Meringkuk Di Penjara Thailand

Diterbitkan: Sabtu, 17 September 2016 8:52 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Seramai 455 rakyat Malaysia sedang meringkuk di penjara Thailand dengan lebih 90 peratus daripada mereka menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah.

Setiausaha Kedua (Konsular) Kedutaan Malaysia di Thailand, Halmah Hassan berkata sebahagian kecil daripada rakyat Malaysia yang berada di penjara Thailand pula melibatkan kesalahan berkaitan kad kredit.

"Seramai 196 rakyat Malaysia ditahan di lima penjara sekitar Bangkok dan tujuh penjara lain di beberapa wilayah utara manakala 259 orang lagi ditempatkan di beberapa penjara wilayah selatan Thai," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang ditahan di penjara Thailand itu berhadapan dengan pelbagai hukuman daripada hukuman mati, penjara seumur hidup dan penjara selama beberapa tahun.

Walaupun berhadapan hukuman mati, ia akan dikurangkan kepada penjara seumur hidup dan tempoh itu juga akan dikurangkan lagi sekiranya pesalah berkelakuan baik ketika di penjara, kata Halmah.

Tujuh daripada 196 rakyat Malaysia yang ditahan di Bangkok dan wilayah utara adalah wanita iaitu lima orang di Pusat Pemulihan Wanita, Chatuchak di sini dan dua lagi di Penjara Wanita Chiang Mai, katanya.

Menurut Halmah, pejabat konsular kedutaan negara di Bangkok menguruskan hal ehwal 196 tahanan rakyat Malaysia di penjara di sini dan utara ibu negara Thailand itu.

Katanya di antara penjara di Bangkok yang banyak menempatkan tahanan Malaysia adalah Penjara Reman Bangkok (30), Bambat Piset (40), Penjara Klong Prem (34) dan Penjara Bangkhwang di Nonthaburi (51).

Pejabat Konsulat Malaysia di Songkla pula menguruskan hal ehwal tahanan negara yang berada di penjara di 13 wilayah di selatan Thai, katanya.

Halmah berkata pejabat konsular di kedutaan negara di Bangkok itu juga melakukan lawatan berkala terhadap semua tahanan rakyat Malaysia bagi mengetahui keadaan terkini dan kebajikan mereka.

Katanya, lawatan itu dibuat kerana mendapati layanan yang diterima tahanan negara daripada pihak berkuasa penjara adalah lebih baik sekiranya mereka kerap menerima kunjungan daripada pihak konsular.

"Jika ada tahanan Malaysia di Chiang Mai yang terletak ribuan kilometer di utara Thailand, kita juga akan melawat mereka.

"Kami juga melakukan tindakan tertentu termasuk berhubung dengan pihak berkuasa penjara sekiranya menerima aduan daripada tahanan Malaysia dan pihak Thai amat responsif terhadap aduan yang diterima," katanya sambil menambah ia adalah sebahagian daripada tugas sebagai pegawai konsular.

Menurut Halmah, pejabat konsular di kedutaan negara turut menerima permohonan daripada tahanan Malaysia yang mahu dipindahkan ke penjara di selatan Thai bagi memudahkan keluarga mereka melawat.

Beliau berkata bagi tahanan Malaysia yang akan dibebaskan daripada penjara Thai, pihaknya juga akan mengeluarkan surat dan dokumen perjalanan bagi membolehkan mereka kembali ke tanah air. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: penjara , Thailand

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan