Korea Utara Lancar Tiga Peluru Berpandu

Diterbitkan: Isnin, 5 September 2016 1:29 PM

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Korea Utara melancarkan tiga peluru berpandu balistik ke timur kawasan perairan negara itu pada Isnin ketika Sidang Kemuncak G20 berlangsung di China.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan dalam kenyataannya berkata, ketiga-tiga peluru berpandu itu dilancarkan dari kawasan Hwangju dekat selatan Pyongyang kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan.

Pihak kementerian masih cuba mengenalpasti jenis misil yang dilancarkan dan tiada butiran lanjut diberikan.

Pyongyang dalam pada itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pelancaran peluru berpandu berkenaan.

Terdahulu Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye memaklumkan pada rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping bahawa tindakan Pyongyang menjalankan ujian keempat nuklear dan ujian peluru berpandu balistik sepanjang tahun ini menggugat keamanan serantau selain memberi cabaran kepada hubungan diplomatik Seoul-Beijing.

Dalam pertemuan itu, Jinping sekali lagi menegaskan komitmen Beijing untuk memastikan tiada ancaman nuklear di Semenanjung Korea walaupun Pyongyang merupakan sekutu rapat China.

Namun Jinping memberitahu Geun Hye bahawa China menentang penempatan sistem antipeluru berpandu jenis THAAD dari Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan walaupun Seoul dan Washington memberi alasan mahu mengekang ancaman Pyongyang.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di Hangzhou, China, lokasi Sidang Kemuncak G20 diadakan bagi membincangkan isu ekonomi utama dunia. - REUTERS


Tags / Kata Kunci: Korea Utara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan