Majoriti Rakyat Thailand Tentang Beli Kapal Selam

Diterbitkan: Khamis, 1 September 2016 7:17 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Majoriti rakyat Thailand menentang rancangan tentera laut untuk membeli tiga buah kapal selam yang menelan kos sebanyak 36 bilion baht (RM4.2 bilion) berdasarkan satu tinjauan awam pada bulan lalu.

Portal Bangkok Post dalam laporannya pada Khamis berkata, tinjauan oleh PeoplePoll menunjukkan, sebanyak 2,357 responden terlibat dalam memberi maklum balas terhadap isu berkenaan.

Berdasarkan tinjauan yang bermula pada 6 Julai lalu sehingga 3 Ogos lepas, seramai 66.8 peratus atau 1,586 responden tidak bersetuju dengan rancangan tentera laut Thailand untuk memiliki kapal selama.

Hanya 22.7 peratus (539 responden) bersetuju dengan rancangan tentera laut itu manakala 10 peratus (237 responden) tidak pasti dengan keputusan tersebut.

Menyentuh tentang pembelian tiga kapal selam bernilai 4.2 bilion tersebut, majoriti 90.4 peratus (2,148 responden) menentang keputusan tersebut dan hanya 5.1 peratus (121 orang) sahaja bersetuju.

Tinjauan tersebut diadakan susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwon yang juga Menteri Pertahanan berhubung kepentingan negara untuk memiliki kapal selam bagi menjaga keselamatan perairan negara terutamanya di Laut Andaman.

Selain itu, Wongsuwon menegaskan bahawa Thailand perlu mengikut jejak beberapa negara jiran yang sudah memiliki aset penting tersebut.

Malah beliau menjelaskan, kos pembelian tiga kapal selam terbabit dari China tidak terlalu mahal memandangkan pembayaran melibatkan tempoh lebih 11 tahun.

"Teknologi kapal selam China adalah yang terbaharu dan mengikut standard antarabangsa," katanya.

Bagaimanapun ramai pengkritik menolak keperluan untuk memiliki kapal selam, sebaliknya meningkatkan tahap keupayaan sistem pertahanan udara dan antikapal selam.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh majalah tentera, Jane's Navy International pada Julai 2015, Tentera Laut Diraja Thailand merancang untuk memantapkan keupayaan pertahanannya dengan memiliki tiga buah kapal selam.

Laporan itu menjelaskan, kapal selam terbabit dinamakan sebagai S26T (Thailand) yang menggunakan kuasa diesel dan elektrik.

Tentera laut Thailand dijadualkan menerima kapal selam S26T yang pertama dalam tempoh enam hingga tujuh tahun.

Tags / Kata Kunci: Thailand , Kapal Selam , Tinjauan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan