Ahli Perniagaan Dipenjara Import Daging Lembu 'Ramly'

Diterbitkan: Selasa, 23 Ogos 2016 8:01 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Seorang ahli perniagaan pada Isnin dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda $8,000 (S$1 = RM2.99) kerana beberapa kesalahan jenayah termasuk mengimport hampir 40 kg kepingan daging lembu "Ramly" tanpa lesen, Straits Times online melaporkan.

Portal berita itu berkata, Mohamed Dawood R. M. Abdul Sukkur, 48, mengaku bersalah di Mahkamah Daerah terhadap empat pertuduhan: menghalang pegawai kastam, memudaratkan proses keadilan, mengimport produk daging tanpa lesen dan memandu secara berbahaya.

Ia berkata empat lagi pertuduhan diambil kira ketika menjatuhi hukuman: satu tuduhan gagal mengisytiharkan mengenai barang yang boleh dikenakan duti, satu pertuduhan mengimport makanan yang diproses tanpa pendaftaran, dan dua pertuduhan memiliki rokok yang tidak melalui pemeriksaan kastam.

Ia menambah bahawa pada Jun tahun lepas, dia memecut lari dari lorong pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas kerana takut ditangkap.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 23 Jun 2015, Dawood memandu ke Malaysia kira-kira 7 pagi dengan kereta BMW berwarna hitam yang disewa untuk mengambil kek dan pastri tradisional untuk dibekalkan ke kedai-kedai di Singapura.

Dia juga pergi ke sebuah pasar raya di bandar baru, Johor untuk membeli 105 paket kepingan daging lembu Ramly seberat kira-kira 37.8 kg dengan harga RM400.

Menurut laporan itu, dia mahu menjualnya ke kedai-kedai pasar malam di Woodlands untuk mengaut keuntungan.

Dawod menyembunyikan kepingan-kepingan daging lembu itu dalam ruang khas menyimpan tayar ganti kereta dan tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 11.35 pagi, kata laporan itu. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan