Tiga Mati, Seorang Cedera Keganasan Di Selatan Thai

Diterbitkan: Isnin, 25 Julai 2016 8:31 PM

(Ubah saiz teks)

PATTANI: Beberapa kejadian tembakan, letupan bom dan serangan khianat berlaku di empat wilayah bergolak di selatan Thai sejak lewat malam tadi, menyebabkan tiga mati dan seorang cedera.

Insiden keganasan itu berlaku beberapa jam sebelum Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-chan melakukan lawatan sehari ke Narathiwat, salah sebuah wilayah bergolak di selatan Thai, hari ini.

"Dua lelaki ditemukan mati ditembak di daerah Mayo, Pattani pada 6 pagi tadi (waktu tempatan) dan polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif serangan," kata Ketua Polis Pattani Mej Jen Thanongsak Wangsupa.

Kedua-dua mangsa yang ditembak di bahagian kepala daripada jarak dekat itu dikenali sebagai Abdul Rahman Dollah, 33, dan Matrudin Mollah, 24, katanya.
Perdana Menteri Thai itu dijadual melawat Narathiwat hari ini, untuk merasmikan pembukaan kilang getah selain mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai awam dan keselamatan.

Kawalan keselamatan di keempat-empat wilayah selatan Thai amat ketat sejak beberapa hari lepas, sempena lawatan Perdana Menteri Thailand ke Narathiwat.

Dalam kejadian pada 11 malam tadi pula, satu kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di Bacho, Narathiwat yang terletak kira-kira 15km daripada kilang yang akan dilawati Prayut hari ini.

Menurut polis tempatan, letupan bom itu, bagaimanapun tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan.

Sementara itu, jurucakap pegawai siasatan Polis Bahagian Ke-Sembilan berkata seorang sukarelawan keselamatan tempatan maut manakala seorang ketua kampung cedera parah dalam kejadian tembakan di daerah Benan Setar, Yala pada 10 pagi tadi.

Kedua-dua mangsa ditembak daripada jarak dekat, katanya.

Dalam satu kejadian dipercayai serangan khianat pada 2 pagi tadi, dua bangunan menempatkan kedai runcit di Mukim Sabayoi di daerah Thepa, Songkla musnah dalam kebakaran.


Tags / Kata Kunci: selatan Thai , wilayah bergolak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan