Kampung Tol Wilayah Yala 'Muncul' Kembali Ekoran Musim Kemarau

Diterbitkan: Sabtu, 16 Julai 2016 11:11 AM

Bekas penduduk Kampung Tol Mukim Mewat, Than Tho melihatkan kesan tinggalan Masjid Nurul Islam yang ditenggelami air apabila Empangan Bang Lang dibina sejak 1980, hari ini. Musim kemarau yang berpanjangan di wilayah itu menyebabkan air empangan mengering dan menimbulkan semula kampung berkenaan.

(Ubah saiz teks)

YALA: Pada 1980, kira-kira 1,100 keluarga Kampung Tol Mukim Mewat, daerah Than To Wilayah Yala, terpaksa meninggalkan kampung mereka yang bakal dinaiki air dari Empangan Bang Lang yang sedang rancak dibina pada ketika itu.

Selepas 36 tahun berlalu, penduduk kini kembali ke kampung halaman mereka ekoran musim kemarau berpanjangan di Yala, mengakibatkan kampung tercinta yang sebelum ini ditenggelami air dan tersembunyi di dasar empangan, 'muncul' kembali.

Kemunculan semula Kampung Tol disebabkan musim kemarau berpanjangan di wilayah selatan Thai itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan bekas penduduknya terhadap kampung itu.

"Sekurang-kurangnya ia memberi kami sekeluarga dan sanak-saudara peluang untuk menziarahi kubur-kubur anggota keluarga kami berhampiran Masjid Nurul Islam di kampung itu," kata seorang daripada bekas penduduk kampung itu, Ibrahim Abdullah, 53.

Masih segar dalam ingatannya juga adalah bagaimana beliau yang masih kecil ketika itu bersama-sama penduduk kampung lain bergotong-royong berusaha membina Masjid Nurul Islam sehingga tersergam indah.

Kini, apa yang masih kelihatan di tapak masjid itu adalah tiang-tiangnya, kata Ibrahim, dan menambah, lebih 100 jenazah penduduk kampung itu dikebumikan di tanah perkuburan kampung berkenaan.

Seorang lagi bekas penduduk kampung itu, Zubir Din pula berkata, walaupun hatinya masih terguris kerana kampungnya ditenggelami air empangan tetapi merasakan ia adalah pengorbanan yang berbaloi.

"Ramai yang merasai nikmat kemudahan bekalan elektrik," katanya sambil bertekad untuk terus menikmati pemandangan kampungnya itu sebelum ia lenyap semula ditenggelami air apabila musim hujan memenuhi kembali ruang empangan yang kontang ketika ini.

Empangan Bang Lang yang menyimpan 1,400 juta meter padu air itu turut menenggelamkan beberapa buah kampung berhampiran serta pelbagai kemudahan lain seperti sekolah dan balai polis.

Empangan yang terletak kira-kira 58km dari bandar Yala merupakan sumber bekalan elektrik penting di selatan Thai.

Tags / Kata Kunci: Kampung Tol , Thailand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan