'Sifat Pengganas' Dalam Serangan Di Nice Tidak Dapat Dinafikan - Presiden - Berita Dunia | mStar

'Sifat Pengganas' Dalam Serangan Di Nice Tidak Dapat Dinafikan - Presiden

Diterbitkan: Jumaat, 15 Julai 2016 2:05 PM

(Ubah saiz teks)

NICE: Sebuah trak yang 'menyerang' orang ramai di French Riviera di sini dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 77 terbunuh dan ratusan yang lain cedera disifatkan sebagai satu serangan pengganas oleh Presiden Francois Hollande, Jumaat.

Pemandunya telah ditembak mati selepas trak yang dipecut sejauh dua kilometer itu merempuh kumpulan orang ramai yang sedang menyambut Hari Bastille di kawasan Promenade des Anglais, Khamis.


Pihak berkuasa berkata, mereka menemui kad pengenalan milik seorang warga Perancis-Tunisia berusia 31 tahun di dalam trak berkenaan, berserta senapang dan 'senjata yang lebih besar'.

Serangan itu adalah 'sifat pengganas yang tidak dapat dinafikan' kata Hollande dalam ucapan suramnya yang disiarkan di televisyen seluruh negara.

Beliau turut mengesahkan bahawa beberapa orang kanak-kanak yang datang bersama keluarga untuk meraikan hari kebangsaan Perancis itu telah terkorban.

Pertumpahan darah itu berlaku pada Hari Bastille, sebuah perayaan yang cukup bermakna bagi rakyat Perancis.

"Perancis telah diserang pada hari kebangsaannya...lambang kebebasan," kata Hollande.

Wartawan AFP, Robert Holloway yang menyaksikan kejadian trak putih memandu pada kelajuan tinggi di tepi pantai itu, menyifatkan adegan itu sebagai 'huru-hara'.


"Kami melihat orang ramai dilanggar dan serpihan berterbangan. Saya terpaksa menutup muka saya daripada terkena serpihan, "katanya.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengutuk kejadian itu yang dilihat sebagai serangan ngeri pengganas walaupun tidak ada kumpulan mendakwa bertanggungjawab.

Hollande mengumumkan beliau akan melanjutkan perintah kecemasan terhadap Perancis selama tiga bulan berikutan serangan terbaru ini dan 'penambahan' tindakan kerajaan terhadap jihad di Syria dan Iraq.

Beliau juga menggesa pasukan tentera simpanan untuk meningkatkan perkhidmatan keselamatan negara.
Tags / Kata Kunci: pengganas , serangan Nice , serangan trak
   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan