Mengenali PM Britain Yang Baru

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2016 2:56 PM

Theresa May duduk mengadap Perdana Menteri, David Cameron sewaktu beliau menyandang jawatan setiausaha dalam negeri.

(Ubah saiz teks)

LONDON: Theresa May pada Rabu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Britain yang baru mengantikan David Cameron yang dengan berat hati terpaksa melepaskan jawatannya atas dasar prinsip sebaik sahaja rakyat negara itu dalam satu referendum 23 Jun lalu membuat keputusan untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) yang dianggotai oleh 27 buah negara.

Cameron membuat perhitungan yang salah pada kempen pilihan raya umum tahun lalu dengan berjanji yang dia akan mengadakan pungutan suara bagi menentukan masa depan Britain dalam EU jika terus diberikan mandat untuk memerintah selama lima tahun lagi.

Rakyat Britain memberikannya mandat dengan kemenangan majoriti paling besar dalam tempoh 23 tahun untuk Parti Konservatif.

David Cameron.

Malangnya keputusan tersebut menyaksikan beliau yang terlebih dahulu terpaksa mengundurkan diri apabila majoriti rakyat Britain enggan mendengar nasihatnya untuk terus kekal dalam EU.

Tidak sampai 24 jam selepas pungutan suara itu selesai, Cameron mengumumkan yang beliau akan melepaskan jawatannya sebagai ketua Parti Konservatif yang dipimpinnya selama enam tahun sekaligus bermakna akan turut mengosongkan kerusi perdana menteri.

Cameron merasakan dirinya ditikam dari belakang apabila terdapat anggota kanan kabinetnya dan ahli parlimen daripada partinya sendiri secara terang-terangan berkempen untuk keluar dari EU. Beliau merasakan kepimpinannya sebagai ketua parti tidak diendahkan lagi dan tidak berkesan.

Tetapi perancangannya untuk berundur sepatutnya tidak sepantas ini kerana sebaik sahaja beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua parti, proses mengantikannya sekurang-kurangnya mengambil masa tiga bulan.

Ini kerana ia perlu dilakukan melalui konvensyen Parti Konservatif yang dijadualkan berlangsung pada 9 September ini.

Proses awal dimulakan dengan ahli-ahli parlimen dari kalangan Parti Konservatif secara individu menyatakan hasrat bertanding sebagai ketua. Kemudian setiap ahli parlimen parti berkenaan mengundi untuk memilih dua nama sahaja jika terdapat lebih dari satu calon yang menyatakan hasrat menjadi ketua.

Akhirnya May dan Andrea Leadsom, muncul dengan undi terbanyak untuk bersaing sebagai ketua.

SISTEM BRITISH

Mengikut peraturan parti, kedua-duanya akan dipilih menerusi undi sulit yang bakal ditentukan oleh ahli-ahli parti berkenaan pada konvensyen 9 September depan.

Bagaimanapun pada Isnin, Andrea membuat kejutan dengan menarik diri dengan alasan beliau tidak yakin akan memperolehi undi yang memadai untuk bersaing dengan May pada September nanti.

Andrea Leadsom.

Sebenarnya beliau menarik diri selepas membuat kenyataan yang cuai yang menerima kritikan besar daripada kaum ibu selepas mengatakan dirinya adalah calon yang jauh lebih layak daripada May kerana mempunyai anak sedangkan May tidak mempunyai anak. Sejak itu Andrea memohon maaf secara terbuka tetapi nasi telah menjadi bubur. Kerana santan pulut binasa kerana mulut badan binasa.

Keputusannya untuk menarik diri sekaligus menjadikan May sebagai calon tunggal dan diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai ketua Parti Konservatif.

Sebagai ketua parti yang menguasai kerusi terbanyak di parlimen, beliau akan mengadap baginda Ratu pada petang Rabu untuk menyatakan hasrat membentuk kerajaan baru dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Perkembangan terbaru ini tidak memberi banyak pilihan kepada Cameron melainkan terpaksa mengosongkan pejabat dan kediaman rasminya di No 10 Downing Street dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas kemenangan May diisytiharkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti Konservatif pada Selasa.

Pada hari yang sama, Cameron mempengerusikan mesyuarat kabinetnya yang terakhir.

May akan mencatat sejarah sebagai wanita kedua menjawat jawatan perdana menteri selepas mendiang Margaret Thatcher (yang memerintah dari 1979-90).

Thatcher juga adalah perdana menteri dari Parti Konservatif.

Margaret Thatcher.

May yang berusia 59 tahun menyandang jawatan setiausaha dalam negeri di bawah kabinet Cameron.

Di bawah sistem pemerintahan Kerajaan British, setiausaha adalah jawatan kabinet paling kanan diikuti oleh menteri dan setiausaha parlimen.

Dalam sebuah kementerian yang besar dan memiliki banyak jabatan misalnya, ia akan diketuai oleh setiausaha dibantu oleh menteri dan kemudian setiausaha parlimen.

Menteri pula ada yang kanan dan menghadiri mesyuarat jemaah menteri dan ada menteri yang junior yang berfungsi sebagai 'menteri muda'. 

Di Britain, tidak wujud jawatan timbalan menteri sepertimana di Malaysia.

Jika tidak kerana segala macam ketidaktentuan yang melanda politik Britain buat masa ini yang menyaksikan David Cameron tidak semena-mena melepaskan jawatan perdana menteri tidak sampai setahun selepas dia mengetuai kemenangan besar Konservatif dalam pilihan raya umum, May tidak bermimpi pun untuk menerajui negaranya.

Bagaimanapun dalam tempoh 17 tahun, beliau adalah satu-satunya wanita dalam Parti Konservatif yang mampu bertahan sebagai pemimpin utama dan terus kekal di dalam arus perdana.

LATARBELAKANG RINGKAS THERESA MAY

TARIKH LAHIR: 1 Oktober 1956 (59 tahun).

PEKERJAAN: Ahli Parlimen untuk kawasan Maidenhead sejak 1997. Setiausaha Dalam Negeri sejak Mei 2010.

PENDIDIKAN: Sekolah Komprehensif Wheatley Park; St Hugh's College, Universiti Oxford.

KELUARGA: Berkahwin kepada Philip May (tetapi tidak memiliki anak).

HOBI: Memasak - beliau memiliki lebih daripada 100 buku resipi.

Dari segi kerjaya politiknya, May kini bukan sahaja bakal menjadi wanita kedua untuk menerajui Kerajaan Britain malah beliau telah pun mencatat rekod sebagai setiausaha dalam negeri yang kedua paling lama berkhidmat dalam tempoh 100 tahun.

Malah Theresa May juga akan menjadi perdana menteri moden Britain yang pertama muncul dari kalangan golongan pertengahan dan bukan bangsawan atau keluarga aristokrat.

Dilahirkan dengan nama Theresa Brazier di kawasan luar bandar di daerah Sussex dan kemudian dibesarkan di Oxfordshire, May belajar di sekolah rendah convent dan kemudian sekolah grammar di sebuah kampung bernama Wheatley.

Pada hari minggu beliau bekerja di kedai roti untuk memperolehi wang saku tambahan.

Sepertimana Margaret Thatcher, May menyertai Universiti Oxford tetapi dengan pengkhususan dalam jurusan geografi bukan politik mahupun ekonomi yang menjadi subjek popular di kalangan bakal ahli-ahli politik.

Pada 1976, ketika beliau di tahun ketiga kolej, May bertemu dengan bakal suaminya Philip, yang ketika itu adalah presiden Kesatuan Pelajar-pelajar Oxford.

Ada yang mengatakan May diperkenalkan kepada Philip oleh rakan sekolej mereka, Benazir Bhutto yang kemudiannya menjadi perdana menteri Pakistan.

Theresa dan Philip berkahwin pada 1980.

Selepas tamat pengajian, May bekerja dengan Bank of England dan selepas itu menjadi ketua di Unit Hal Ehwal Eropah.

POLITIK

Minatnya dalam politik terserlah apabila beliau terpilih sebagai ahli majlis di Merton, sebuah perbandaran di Selatan London sehinggalah menjadi timbalan ketua majlis.

Pada 1992, May bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum di kawasan yang dikuasai Parti Buruh iaitu di North West Durham. Beliau tewas kepada Hilary Armstrong, calon Parti Buruh yang kemudian menjadi ketua whip di bawah Kerajaan Buruh pimpinan Tony Blair.

Dua tahun kemudian, May mencuba nasib pada pilihan raya kecil kawasan parlimen Barking, di Timur London. Beliau tewas teruk dengan memperolehi tidak sampai 2,000 undi.

May tidak berputus asa, sebaliknya nasibnya berubah pada 1997, apabila beliau menang di kerusi parlimen di Maidenhead, Berkshire. Sejak itu beliau mewakili parlimen tersebut sehinggalah sekarang.

Dua tahun kemudian iaitu pada 1999 May menganggotai kabinet bayangan Parti Konservatif di bawah kepimpinan William Hague dan selepas itu pada 2002 menjadi wanita pertama untuk mempengerusikan parti berkenaan di bawah kepimpinan Iain Duncan Smith.

Theresa May.

Apabila Parti Konservatif bersama-sama Liberal Demokrat membentuk kerajaan campuran pertama dalam tempoh 70 tahun, enam tahun yang lalu, May dilantik sebagai setiausaha dalam negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan dalam negeri dan juga imigresen.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau dikenali sebagai seorang yang tegas dan berpegang kepada prinsip dan disukai ramai kerana ketegasannya itu.

Ketika di bawah kerajaan campuran, May seringkali bertelagah dengan timbalan perdana menteri, Nick Clegg yang juga merupakan pemimpin Liberal Demokrat dalam banyak isu berkaitan keselamatan negara termasuklah cadangan untuk memantau penggunaan internet  yang dibantah sekeras-kerasnya oleh Liberal Demokrat.

David Cameron kemudiannya dilaporkan memberitahu Clegg yang beliau juga seringkali bertelagah dengan May kerana beliau seorang yang sangat rigid dan enggan beralah tetapi menghormati ketegasan wanita itu.

Tetapi sebagai setiausaha dalam negeri, May akan diingat sebagai seorang yang berjaya memastikan Britain selamat daripada ancaman pengganas dengan kadar jenayah berjaya dikurangkan dari tahun ke tahun.

Sikap tegasnya menyaksikan Britain mengusir pemimpin radikal Abu Qatada pada 2013.

KEHIDUPAN PERIBADI & TUGAS UTAMA

Beliau jarang bercakap mengenai kehidupan peribadinya. Hanya tiga tahun yang lalu May pernah mendedahkan yang beliau mengidap sakit kencing manis tahap 1 dan memerlukan suntikan insulin dua kali sehari untuk sepanjang hayatnya.

Pada usia 59 tahun, May akan menjadi perdana menteri paling tua menerajui kerajaan sejak James Callaghan pada 1976 dan pada masa yang sama akan menjadi perdana menteri pertama sejak Ted Heath yang tidak dianugerahkan dengan cahaya mata.

Oleh kerana beliau mengambilalih jawatan perdana menteri setahun selepas pilihan raya umum, May tidak perlu bimbang tentang urusan tersebut sehingga Mei 2020 iaitu tarikh akhir sah kerajaannya sekarang.

Beliau sudahpun membuat kenyataan yang pilihan raya umum tidak akan diadakan sebelum 2020.

Tugas utamanya kini ialah membentuk sebuah jabatan khas untuk mengendalikan urusan perpisahan dengan EU dan berunding tentang perjanjian-perjanjian dagangan yang baru dengan EU.

Beliau juga telah berjanji untuk memperkenalkan pembaharuan sosial yang radikal.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan