Tiga Angkasawan Berlepas Ke ISS Naik Taraf Soyuz

Diterbitkan: Khamis, 7 Julai 2016 12:17 PM

Sedia untuk berlepas. Dari kiri: Kate Rubins, Anatoly Ivanishin dan Takuya Onishi. -fotoAP

(Ubah saiz teks)

BAIKONUR (Kazakhstan): Tiga angkasawan telah berlepas dari Cosmodrome Baikonur, Khamis menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dalam misi menaik taraf kapal angkasa Soyuz.

Angkasawan NASA, Kathleen Rubins dan Takuya Onishi daripada agensi angkasa Jepun yang berlepas buat kali pertama berangkat untuk misi empat bulan di ISS bersama angkasawan Rusia Anatoly Ivanishin yang mempunyai dua kali pengalaman pada pukul 1.36 pagi waktu tempatan.

"Dan ia telah berlepas" kata seorang pengulas di NASA TV, yang menyiarkan rakaman pelancaran itu di Kazakhstan.

Pelepasan tiga angkasawan itu telah ditangguh lebih dua minggu untuk pegawai-pegawai angkasa Rusia menjalankan ujian lanjutan perisian terhadap kenderaan yang diubah suai itu.

Ciri-ciri Soyuz yang baru termasuklah 'booster' yang dinaik taraf, sistem navigasi yang lebih baik, pengukuhan perlindungan serpihan dan lebih banyak sel pada panel solar kapal angkasa.



Rubins menjadi wanita pertama berlepas ke ISS sejak Samantha Cristoforetti dari Itali kembali ke bumi dengan rekod penerbangan angkasa tunggal paling lama oleh seorang wanita (199 hari) pada Jun tahun lepas.

Ahli biologi molekul itu, yang diterima masuk ke program angkasa pada tahun 2009, juga akan menjadi orang pertama yang akan melakukan penjujukan DNA di ruang angkasa semasa misi beliau.

Takuya Onishi, yang dilatih sebagai seorang juruterbang untuk pesawat komersial terbesar di Jepun menjadi orang ke-11 di negaranya memasuki ruang angkasa.

Perjalanannya ke ISS di mana beliau akan mengambil bahagian dalam eksperimen berkaitan program Kibo di bawah agensi angkasa Jepun bertepatan dengan perayaan Tanabata yang diraikan di seluruh tanah air.

Ivanishin, jurutera penerbangan telah mencatat rekod lebih 165 hari berada di ruang angkasa selepas misi pertamanya di ISS pada tahun 2011 dan 2012.

Makmal angkasa ISS telah mengorbit bumi pada kelajuan kira-kira 28,000 kilometer sejam (17,400 batu sejam) sejak 1998.

Tags / Kata Kunci: NASA , Soyuz , ISS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan