Kumpulan Lelaki Bersenjata Serbu Kafe Elit Di Dhaka, Tahan Tebusan

Diterbitkan: Sabtu, 2 Julai 2016 9:38 AM

-fotoAFP

(Ubah saiz teks)

DHAKA: Kumpulan lelaki bersenjata telah menyerbu sebuah restoran popular yang sesak dengan warga asing di ibu negara Bangladesh, malam Jumaat, menahan berpuluh-puluh orang sebagai tebusan dan mencetuskan pertempuran maut dengan pihak polis, menurut pegawai dan saksi.

Kumpulan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas restoran Holey Artisan Bakery di kawasan mewah, Gulshan, di mana dua anggota polis terbunuh.

Polis berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu telah melaungkan 'Allahu Akbar' ketika orang ramai sedang makan malam kira-kira pukul 9.20 malam dan meledakkan bahan letupan.

Polis berkata, mereka dipercayai terdiri daripada kumpulan militan Islam.

Beberapa pengunjung berjaya melarikan diri termasuk seorang chef Argentina dan seorang lelaki Bangladesh yang berlindung di bangunan bersebelahan.

Tetapi polis berkata masih terdapat beberapa orang lagi sedang ditahan di dalam restoran beberapa jam selepas serangan.

"Ada yang ditahan bersama pistol," kata ketua polis Unit Jenayah Rentas Sempadan dan Anti Keganasan, Monirul Islam.

Sesetengah daripada mereka berjaya bercakap dengan saudara-mara melalui telefon, melaporkan terdapat sehingga 40 orang sedang terperangkap di mana kira-kira separuh daripada mereka adalah warga asing, menurut stesen TV swasta, Ekattur.

Seorang lagi tebusan memberitahu saudara-maranya bahawa mereka bimbang akan dibunuh jika polis cuba menyerbu restoran untuk menamatkan pengepungan.

"Dia sangat gugup," anak saudara lelaki yang ditahan itu, yang telah bercakap dengannya melalui telefon, memberitahu AFP.

"Dia menggesa pihak polis tidak menyerbu restoran, kerana lelaki-lelaki bersenjata itu akan membunuh mereka."



Rumah Putih berkata Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah diberi taklimat mengenai serangan itu, kejadian yang jarang berlaku di kawasan Dhaka yang dianggap agak selamat.

"Kami cuba berkomunikasi dengan mereka (kumpulan bersenjata). Kami mahu selesai secara aman," kata ketua pasukan keselamatan elit Bangladesh Benazir Ahmed kepada pemberita.

Penyelia restoran Sumon Reza yang melarikan diri dengan melompat dari bumbung memberitahu sebuah akhbar tempatan terdapat 20 warga asing yang ditahan.

"Saya berada di bumbung. Seluruh bangunan bergoncang apabila mereka meledakkan bahan letupan," katanya.

Bangladesh telah merasai bahang daripada gelombang pembunuhan warga asing, kumpulan minoriti agama dan aktivis sekular, disyaki dilakukan oleh militan Islam.

Tetapi pembunuhan ini umumnya hanya melibatkan segelintir penyerang dan serangan terkini nampaknya dilakukan pada skala yang lebih besar di mana kali pertama orang awam dijadikan tebusan.

Agensi berita yang dikaitkan dengan IS, Aamaq, berkata kumpulan itu bertanggungjawab di sebalik serangan dan 'lebih daripada 20 orang dari pelbagai negara telah terbunuh'.

Pasukan polis bersenjata dan pengawal separa tentera mengepung kawasan itu selepas berlakunya letupan.

"Dua anggota polis termasuk ketua balai polis Banani terbunuh. Mereka telah dilihat terkena peluru dan serpihan dari bom tangan," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Dhaka Sheikh Nazmul Alam kepada AFP.

"Sehingga 20 pegawai polis cedera. Tujuh hingga lapan orang telah keluar dari restoran. Tetapi masih ada beberapa orang di dalam."

Ketua Polis Dhaka Asaduzzaman Miah berkata, polis sedang berhubung dengan kumpulan terbabit dalam usaha 'untuk menyelamatkan semua orang tanpa sebarang kemudaratan'.

Serangan itu berlaku berhampiran Club Nordic, di mana warga asing berkumpul, dan juga kawasan kedutaan Qatar, Itali dan Mesir.

Duta Besar Perancis Sophie Aubert berkata restoran itu 'sangat popular' di kalangan diplomat dan warga asing lain di Dhaka.

"Kami amat bimbang dengan mereka yang ditahan," katanya kepada AFP.

Kejadian ini menjadi satu lagi siri pembunuhan yang mensasarkan warga asing di Bangladesh didakwa dilakukan oleh kumpulan IS.


iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan