Ibu Beruang Dibunuh Selepas Menyerang Pelari Maraton Di New Mexico - Berita Dunia | mStar

Ibu Beruang Dibunuh Selepas Menyerang Pelari Maraton Di New Mexico

Diterbitkan: Selasa, 21 Jun 2016 10:47 AM

(Ubah saiz teks)

SANTA FE: Pegawai veterinar di New Mexico pada Isnin telah mengesan dan membunuh ibu beruang hitam yang telah menyerang pelari jarak jauh di Hutan Simpan Negara Valles Caldera, hujung minggu lalu.

Peserta wanita itu mengambil bahagian acara tahunan sejauh 21 kilometer apabila tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran ibu beruang dan tiga anaknya, kata jurucakap Jabatan Veterinar dan Perikanan negeri, Lance Cherry.

"Ia suatu kejadian yang tidak diduga," katanya.

Wanita berkenaan yang identitinya tidak didedahkan telah diterbangkan dengan helikopter ke sebuah hospital di Albuquerque untuk mendapat rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang.

Kata Cherry, susulan itu pihak jabatan berkenaan telah mengesan beruang berkenaan kerana ia memakai alat pengesan satelit sebagai langkah untuk mengkaji perlakuan haiwan itu.

Bagaimanapun, tiga anaknya dipercayai masih berada di kawasan hutan simpan itu.

Jika anak beruang itu terperangkap, ia akan dibawa ke pusat pemulihan hidupan liar tempatan, kata Cherry sambil menambah,"Kami mahu memberikan peluang terbaik untuk anak beruang itu meneruskan kehidupan."

Cherry berkata, perundangan di New Mexico menetapkan hidupan liar yang mengigit manusia perlu dihapuskan dan menjalani ujian rabies.

Jurucakap Valles Caldera, Brittney Van Der Werff berkata, kurang 100 peserta menyertai pertandingan pada Sabtu lalu itu.

Bagaimanapun, katanya, ada peserta yang bergegas ke arah mangsa yang diserang ibu beruang berkenaan.

Menurut Cherry lagi, sepanjang tahun lalu, empat beruang telah menyerang manusia.


Tags / Kata Kunci: beruang hitam , New Mexoco

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan