Enam Rakyat Malaysia Ditahan Di Australia Edar Dadah Hampir RM600 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mei 2016 4:00 PM

(Ubah saiz teks)

SYDNEY: Polis Australia menahan 14 orang termasuk enam rakyat Malaysia dan lapan warga China, melibatkan kes penyeludupan 200 kilogram (kg) pil khayal mencecah hampir RM600 juta ke negara itu.

Pasukan petugas khas jenayah terancang melancarkan siasatan selepas kapal membawa lapan warga China ditahan pada awal Mei, kira-kira 185 kilometer di luar pantai Australia Barat selepas ia bertindak mencurigakan.

Serbuan ke atas beberapa hartanah berikutan penahanan itu membawa kepada penangkapan rakyat Malaysia, dan rampasan 150 kilogram dan 50 kilogram pil khayal di dua lokasi berasingan.

"Berikutan hasil siasatan dan waran tangkap, enam rakyat Malaysia, semua lelaki berusia antara 24 dan 54 tahun, didakwa.

"Lapan warga China, semuanya lelaki berusia antara 37 dan 56 tahun, didakwa berkaitan dengan rampasan dadah itu," kata Detektif Gary Dreiberg kepada wartawan.

Polis berkata, ia adalah rampasan kedua terbesar dalam sejarah negeri itu. Polis menganggarkan nilai rampasan terbaharu itu A$200 juta (RM586 juta). - Reuters

Tags / Kata Kunci: Australia , pil khayal , Gary Dreiberg

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan