Obama Sahkan Mullah Akhtar Maut Dalam Serangan AS

Diterbitkan: Selasa, 24 Mei 2016 11:25 AM

(Ubah saiz teks)

HANOI: Presiden Barack Obama yang dalam rangka lawatan rasmi ke Vietnam mengesahkan ketua kumpulan Taliban, Mullah Akhtar Mansour terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu.

Kematian Mullah Akhtar disifatkan sebagai kejayaan penting buat AS dalam usaha membawa keamanan di Afghanistan.

Serangan udara itu adalah yang pertama dilancarkan AS ke atas pemimpin tertinggi kumpulan Taliban di Pakistan, sekali gus memberi tekanan kepada kumpulan militan itu.

“Kita berjaya menghapuskan pemimpin organisasi yang meneruskan usaha melancarkan serangan ke atas AS dan tentera sekutu, memerangi rakyat Afghanistan dan bersekutu dengan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda,” kata Obama.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Mullah Akhtar terbunuh apabila kereta jenis Toyota yang dinaikinya dibedil dengan peluru berpandu yang dilancarkan daripada pesawat kawalan jauh atau dron di pekan Ahmad Lai, wilayah Baluchistan.

Pakistan mengecam serangan AS itu yang dianggap menceroboh kedaulatan negaranya.

Seorang pemimpin kanan Taliban mengesahkan kematian Mullah Akhtar kepada agensi berita AFP dan memberitahu, majlis syura akan bersidang untuk memilih ketua baharu.

Katanya, pembunuhan itu mengejutkan kepimpinan Taliban yang bersembunyi di Pakistan dan sempadan Afghanistan.

“Majlis Syuara masih mengadakan perjumpaan di lokasi rahsia dan kerap berpindah-randah kerana bimbang diserang dron AS,” katanya.

Sumber tentera pula menyatakan, majlis tertinggi Taliban belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi.

Mullah Akhtar dipilih sebagai ketua Taliban pada Julai 2015 berikutan kematian pengasas kumpulan itu, Mullah Omar dua tahun lalu. – AFP






Tags / Kata Kunci: Mullah Akhtar , Taliban , AS , Barack Obama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan