Proses Pecat Presiden Brazil Makin Huru-Hara

Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2016 11:26 AM

Penduduk Brazil mengadakan demonstrasi mendesak supaya Presidennya diheret ke mahkamah kerana menipu akaun kerajaan berkaitan belanjawan Brazil.

(Ubah saiz teks)

BRASILIA: Selepas tiga minggu Dewan Rakyat Brazil meluluskan undian pemecatan Presidennya, Dilma Rousseff, kini situasinya makin huru-hara apabila keputusan itu dimansuhkan.

Perkara itu diumumkan pemangku Speaker Kongres Dewan Rakyat negara terbesar Amerika Latin pada Isnin, sekali gus menyukarkan proses untuk menggulingkan Presiden Wanita Pertama Brazil itu.

Segala-galanya bermula apabila Rousseff dituduh menipu akaun-akaun untuk menutupi keadaan teruk belanjawan kerajaan ketika pemilihan semulanya pada 2014.

Tindakan Waldir Maranhao yang mengejutkan itu mencetuskan pelbagai persoalan yang membabitkan kesahihan tindakannya itu dari segi undang-undang serta implikasi pemansuhan itu.

Perkembangan terbaru itu dilihat akan merumitkan keadaan dan mungkin hanya proses di Mahkamah Agung Brazil sahaja yang dapat menyelesaikannya.

Keputusan itu dilakukan dua hari sebelum Dewan Senat membuat keputusan sama ada untuk menggantungkan Rousseff dan melakukan proses perbicaraan terhadapnya, serta menggantikannya dengan Timbalan Presiden, Michael Temer.

"Keputusan kami berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan protokol kami. Saya menyedari kerumitan keadaan sekarang ini,  yang mendesak kita untuk menyelamatkan demokrasi menerusi pendebatan," katanya dalam sidang media di sini.

Sementara itu Rousseff berkata, beliau akan berjuang dengan kuasa demokrasi dan perundangan untuk menghentikan usaha penggulingan tersebut.

Pada 18 April lalu, Dewan Rakyat Brazil meluluskan undian pemecatan Rousseff selepas mencapai keputusan dua per tiga majoriti.

Usul undian Dewan Rakyat ini akan dibawa ke Dewan Senat bagi membolehkan kes itu dibahaskan secara terbuka.

Undian dua per tiga majoriti Dewan Senat akan memutuskan Dilma Rousseff dipecat daripada jawatannya.

Tags / Kata Kunci: Dilma Rousseffe , Dewan Rakyat Brazil

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan