AirAsia Kaji Tubuh Ibu Pejabat Antarabangsa Di Thailand

Diterbitkan: Sabtu, 30 April 2016 2:50 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia sedang mengkaji kemungkinan untuk menubuhkan Ibu pejabat Antarabangsanya (IHQ) di Thailand dan membina lapangan terbangnya sendiri di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Thailand Somkid Jatusripitak.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Jen. Prayut Chan-o-cha di Rumah Kerajaan semalam.

"Beliau (Fernandes) membangkitkan idea untuk menubuhkan IHQ di Thailand sebagai pintu masuk pelancongan ASEAN yang sebenar," menurut media tempatan yang memetik kenyataan Somkid Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri itu yang bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi dan turut hadir pada mesyuarat tersebut, berkata cadangan daripada syarikat penerbangan tambang rendah untuk menubuhkan IHQ di Thailand menunjukkan keyakinan pelabur asing telah kembali di negara ini.

Pemilik syarikat penerbangan tambang rendah itu, katanya turut membayangkan pengukuhan anak syarikatnya di rantau ini dan menyenaraikan syarikat itu di Bursa Saham Thailand (SET) atau memohon dua penyenaraian di Malaysia dan Thailand.

Somkid berkata AirAsia juga bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain di Thailand untuk menghubungkan bandar-bandar ASEAN dan membawa penumpang ke negara ini.

Pada Februari lepas, Timbalan Perdana Menteri itu mencadangkan syarikat penerbangan negara, Thai Airways untuk mempertimbangkan membeli 20 peratus kepentingan dalam Thai AirAsia bagi memanfaatkan faedah daripada syarikat penerbangan tambang rendah.

Tags / Kata Kunci: AirAsia , Somkid Jatusripitak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan