Pasukan Keselamatan Temui Lokasi Buat Bom Di Hutan Narathiwat

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 7:31 PM

(Ubah saiz teks)

NARATHIWAT: Pasukan keselamatan Thailand menemui kemudahan membuat bom di hutan Bukit Tawe, Narathiwat, dengan bom berkenaan dipercayai digunakan kumpulan militan dalam serangan Hospital Jok Irong bulan lepas.

Ketua Renjer Ke-45 Kolonel Rungroch Anantato berkata anggota renjer menemui wayar, serpihan besi, paku selain pakaian dan ubat-ubatan dipercayai digunakan oleh unit Ronda Kumpulan Kecil (RKK) kumpulan militan.

"Kita memperolehi maklumat perisikan mengatakan RKK menggunakan kawasan ituuntuk memproses bom untuk digunakan di kawasan bandar," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Untuk tiba di lokasi pembuatan bom itu, beliau berkata anggota pasukan keselamatan terpaksa menempuh perjalanan selama tiga jam melalui hutan tebal dan kebun-kebun getah.

Rungroch berkata pihaknya turut menggunakan anjing pengesan dalam operasi itu.

Pada 13 Mac lepas, sekumpulan anggota militan menyerbu Hospital Jok Irong untuk menyerang sebuah markas pasukan keselamatan berhampiran menyebabkan tujuh anggota polis cedera.

Sementara itu, Penolong Ketua Balai Polis Yarang Kapt Polis Piyapong Santhong berkata Penghulu Mukim Wad, Yarang Matyalee Wani, 56, mati ditembak ketika sedang memandu kereta pada 1 tengah hari tadi.

Mangsa ditembak oleh empat lelaki yang menunggang dua motosikal, katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Lokasi buat bom , hutan narathiwat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan