Singapura Perkenal Sistem 'Bioscreen' Mulai Rabu Ini

Diterbitkan: Isnin, 18 April 2016 11:14 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Mulai Rabu ini, Singapura akan melaksanakan secara berperingkat sistem 'BioScreen' di balai penumpang pusat pemeriksaan kemasukan melalui laut dan darat, diikuti pusat pemeriksaan kemasukan melalui udara sebelum melaksanakannya secara penuh beberapa bulan lagi.

Dalam kenyataan pada Isnin, Pihak Berkuasa Imigresen  and  Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura berkata pelawat asing dikehendaki menjalani imbasan cap jari setiap kali mereka tiba dan meninggalkan republik ini.

Bagi fasa awal di pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas, sistem itu akan dilaksanakan di kaunter kendalian di balai penumpang.
Pemeriksaan 'Bioscreen' bagi mereka yang membuat perjalanan dengan motosikal, kereta dan lori akan dilaksanakan pada fasa berikutnya.

ICA berkata ujian penggunaan sistem 'BioScreen' di Terminal Feri Tanah Merah dilaksanakan dengan jayanya tahun lepas.

Sementara itu, rakyat dan penduduk Singapura yang menggunakan Sistem Pelepasan Automatik Imigresen (eIACS) atau lorong pelepasan automatik bagi ketibaan dan berlepas, tidak akan terjejas dengan pelaksanaan sistem 'BioScreen'.

Rakyat dan penduduk Singapura yang layak digalakkan menggunakan lorong automatik bagi pelepasan imigresen.

"Mereka yang menggunakan kaunter kendalian di pusat pemeriksaan kami akan dikehendaki menjalani pemeriksaan cap jari melalui sistem 'BioScreen'," kata ICA.

Melalui pelaksanaan 'BioScreen', pelawat mungkin mengalami tempoh pelepasan Imigresen lebih panjang sedikit di pusat pemeriksaan.
ICA akan memantau pelaksanaan sistem itu secara rapi dan memperkemas serta membuat pelarasan di mana perlu.

"Pegawai kami akan membantu dan menasihati pelawat dengan sewajarnya.Kami memohon kerjasama semua pelawat untuk menjamin keselamatan Singapura," kata ICA sambil menjelaskan sistem itu membolehkan ICA meningkatkan keberkesanan dalam mengesahkan identiti seseorang pelawat.
Tags / Kata Kunci: sistem Bioscreen , ICA Singapura

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan