Gempa Jepun Ragut Sembilan Nyawa, Lebih 300 Cedera

Diterbitkan: Jumaat, 15 April 2016 10:11 AM

(Ubah saiz teks)

TOKYO: Sekurang-kurangnya sembilan maut dan lebih 300 lagi cedera dalam gempa bumi 6.5 magnitud di selatan Jepun yang meranapkan bangunan, merosakkan jalan raya dan mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

Pihak berkuasa kerajaan juga menjangkakan lebih ramai menjadi mangsa akibat terperangkap dalam rutuhan bangunan susulan bencana itu.

Ribuan penduduk di bandar Mashiki, kira-kira 15 kilometer ke timur bandaraya Kumamoto di Pulau Kyushu meninggalkan kediaman mereka dan bermalam di kawasan lapang bagi menjamin keselamatan masing-masing.

Kejadian di pulau yang menempatkan reaktor nuklear di Sendai itu bagaimanapun tidak menjejaskan premis berkenaan.

Bagi mengawal situasi, kerajaan Jepun mengerahkan kira-kira 1,600 anggota tentera ke tempat kejadian termasuk membantu mangsa di pusat perlindungan.

Ketua jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga, berkata beliau akan melawat lokasi bencana untuk menilai kerosakan. 

Katannya, berdasarkan laporan yang diterima, sekurang-kurangnya 40 daripada mangsa mengalami kecederaan serius. 

Gempa melanda pada jam 9.26 malam pada Khamis waktu tempatan pada kedalaman 11 kilometer berhampiran Kumamoto tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.



Sementara itu, gempa bumi berukuran 6.5 turut melanda pantai kepulauan Vanuatu, beberapa jam selepas satu lagi gegaran kuat berlaku di kawasan sama, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran pertama, berukuran 6.0, melanda pada kedalaman 10 kilometer kira-kira 86 kilometer dari bandar Port Orly, menurut Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS). Ia disusuli beberapa jam kemudian oleh gegaran susulan lebih kuat pada kedalaman dan tempat sama. 

Tags / Kata Kunci: Mashiki , Kyushu , gempa bumi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan